Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ramai orang tak jaga jarak, Kompleks Mahkamah PJ sesak'

Kompleks Mahkamah Petaling Jaya akan menguatkuasakan langkah penjarakan sosial dengan lebih ketat susulan aduan daripada peguam dan orang ramai.

Anggota pentadbiran kompleks mahkamah memberi jaminan tersebut kepada Malaysiakini hari ini sebagai maklum balas terhadap kebimbangan mengenai kesesakan di bangku awam di bilik Kaunter Pendaftaran di tingkat bawah kompleks itu.

Pegawai mahkamah yang enggan dinamakan berkata kesesakan hari ini berpunca kerana ramai orang yang datang untuk kes baru di Mahkamah Majistret dan Sesyen di Petaling Jaya.

Beliau berkata kompleks itu telah melaksanakan langkah penjarakan sosial sejak fasa pertama tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tetapi kesesakan hari ini disebabkan oleh begitu ramai orang memasuki ruangan untuk kes-kes baru.

"Kami bahkan telah meletak notis di bangku untuk mengingatkan orang ramai untuk menjaga jarak diri. Bagaimanapun, notis itu tertanggal kerana ramai orang datang dan duduk di bangku,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Mulai esok, hanya sekitar 10 orang yang akan dibenarkan masuk ke bilik (Kaunter Pendaftaran). Kami juga sedang meneliti sekiranya mahu menambah pengawal keselamatan tambahan untuk memantau keadaan,” katanya.

Awal pagi tadi, tinjauan oleh Malaysiakini antara pukul 8.50 pagi dan 9.30 pagi menunjukkan bilik Kaunter Pendaftaran penuh dengan individu dan ahli keluarga mereka yang sedang menunggu pendaftaran kes jenayah baru, yang sebahagiannya ada kaitan dengan dakwaan pelanggaran PKP.

Orang ramai duduk bersebelahan, kurang dari jarak sosial satu meter yang disyaratkan oleh pihak berkuasa sebagai langkah memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19.

Tangkap orang langgar PKP, tapi...

Seorang wanita di luar bilik Kaunter Pendaftaran terdengar berkata,"mana ada jarak sosial" kepada orang lain ketika dia melihat ke dalam bilik yang sesak itu.

Peguam Zaflee Pakwanteh, yang tiba di sana sebelum jam 8.30 pagi mengesahkan kesesakan di bilik Kaunter Pendaftaran itu.

Katanya lagi, bangku-bangku itu juga sesak disebabkan peguam tertentu yang turut menggunakannya.

"Mana boleh macam ini. Anda menangkap orang kerana melanggar PKP, jadi ini (kesesakan di Kaunter Pendaftaran) tidak patut dibenarkan berlaku.

"Perlu ada polis yang ditempatkan di sini sehingga dapat memberikan peringatan kepada orang ramai untuk menjaga jarak sosial antara satu sama lain.

"Ketua pendaftar mahkamah perlu meneliti hal ini," kata Zaflee kepada Malaysiakini.

Kemudian, seorang pegawai polis yang dimaklumkan mengenai perkara itu masuk ke dalam bilik Kaunter Pendaftaran dan memberitahu orang-orang di dalamnya untuk menjaga jarak sosial.

Bagaimanapun, tidak lama selepas pegawai polis itu pergi, bilik tersebut mula sesak lagi dengan orang-orang yang duduk di bangku awam.

Sementara itu, tinjauan Malaysiakini menunjukkan jarak sosial dipraktikkan dan dilaksanakan dalam ruang sidang di bilik mahkamah di kompleks tersebut.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum prosiding bermula, polis mahkamah memantau jumlah kehadiran orang di galeri awam.

Apabila empat atau lima orang dilihat duduk bersama di galeri awam, polis mahkamah akan segera memaklumkan mereka untuk menunggu di luar bagi menjaga jarak sosial.

Beberapa orang kemudian dilihat keluar dari galeri mahkamah untuk menunggu di luar sementara kes mereka dipanggil.

Setengah jam kemudian lebih ramai orang didapati memasuki bilik mahkamah dan duduk di bangku, lantas mengakibatkan sekali lagi galeri awam itu sesak.

Kemudian pegawai polis yang sama dilihat menghampiri mereka dan mengingatkan mereka tentang perlunya menjaga jarak sosial antara satu sama lain.

Beberapa orang sekali lagi keluar dari bilik mahkamah untuk menunggu di luar sehingga kes mereka dipanggil.

Ketika Majistret Zhafran Rahim Hamzah masuk ke bilik mahkamah untuk prosiding dimulakan, jarak sosial di galeri awam diamalkan dengan setiap bangku hanya mempunyai dua atau tiga orang yang duduk berjauhan dan terpisah.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS