Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ada beberapa lagi kelonggaran PKP, kata Ismail Sabri
Diterbitkan:  Apr 29, 2020 4:04 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan akan terdapat beberapa lagi kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat yang akan diumum dalam masa terdekat.

Beliau bagaiamanapun tidak menghuraikan lanjut mengenai kelonggaran berkenaan.

Sebelum itu, bercakap dalam sidang media berkaitan PKP di Putrajaya, hari ini, katanya kerajaan memutuskan untuk memberi sedikit kelonggaran bagi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan membenarkan dua orang bergerak dalam satu kenderaan bermula hari ini.

Katanya, mereka perlu terdiri daripada ahli keluarga dari rumah yang sama dan pergerakan itu bagi membeli makanan dan barang keperluan harian.

“Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.4) 2020 telah diwartakan dan berkuat kuasa 29 April 2020 hingga 12 Mei 2020,” katanya.

Sebelum ini hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan bergerak bagi membeli makanan dan barang keperluan harian.

Kelonggaran SOP itu juga menyaksikan kerajaan kini membenarkan pergerakan bagi membeli keperluan harian dan mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan melebihi 10 kilometer sekiranya keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat di dalam radius 10 kilometer dari kediaman individu.

Mengulas dakwaan seorang peguam kononnya PKP tidak diwartakan, Ismail Sabri berkata kerajaan mewartakan kesemua peringkat PKP dari yang pertama hingga terkini.

“Kalau tidak ada pewartaan tentu saja polis tidak boleh melaksanakan sebarang tindakan. Kerajaan mewartakan setiap satu PKP sebelum ia berkuat kuasa,” katanya.

Ismail Sabri berkata beberapa lagi kelonggaran dalam PKP fasa sekarang akan diumum dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata polis menangkap 643 orang kerana ingkar PKP semalam, menjadikan jumlah kumulatif tangkapan kepada 21,749 orang.

Seramai 838 rakyat Malaysia pulang ke tanah air semalam dan dikuarantin wajib manakala 653 pelajar dari zon utara akan dihantar pulang di zon sama menaiki 44 bas bermula petang ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS