Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemandu lori didenda RM3,450, alih penghadang batu, ingkar PKP
Diterbitkan:  Apr 29, 2020 3:46 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Akibat melakukan khianat dengan mengalihkan penghadang batu milik Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang pemandu lori didenda RM3,450, oleh Mahkamah Majistret Selayang di Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Yap Cheng Ho, 29, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan melakukan khianat, manakala denda RM950 atau penjara sebulan atas kesalahan ingkar PKP.

Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakan penghadang batu yang anggaran kerugian RM300 di laluan pintas Taman Garing Utama, Gombak di Kuala Lumpur, pada 7.05 malam, 23 April lepas, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan penjara tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, semasa seorang anggota polis menjalankan Ops COVID-19 di sekitar kawasan tersebut, beliau menerima maklumat daripada seorang penduduk bahawa ada dua lelaki yang salah seorangnya adalah tertuduh cuba mengalihkan penghadang batu di laluan pintas menyebabkan penghadang batu pecah.

Apabila anggota polis sampai ke kawasan tersebut, tertuduh (Yap) telah ditangkap oleh seorang lelaki yang merupakan penduduk taman itu, manakala seorang lagi telah melarikan diri.

Bagi pertuduhan ingkar PKP, bapa dua anak itu mengaku bersalah keluar rumah tanpa alasan munasabah pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya MS Arunjothy memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, kerana tertuduh telah melanggar PKP, manakala peguam Mohd Riza Zakaria yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minimum, kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga.

“Anak guam saya tidak tahu tindakan mengalihkan penghadang batu bagi membolehkan lorinya lalu di kawasan itu adalah satu kesalahan. Dia juga tidak mengetahui penghadang batu adalah milik MPS. Anak guam saya juga menyesal atas perbuatannya itu,” katanya.

Di mahkamah sama, seorang wanita warga Indonesia Hernita, 48, dipenjara 14 hari selepas mengaku bersalah dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah di pasar harian Selayang, Gombak di Kuala Lumpur pada 12.20 tengah hari, 24 April lepas dan dia diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 24 April.

Bagaimanapun wanita itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak memiliki pasport pada tarikh, tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan tidak melebihi enam sebatan.

Mahkamah menetapkan 11 Jun untuk sebutan kes bagi semakan pasport. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arunjothy, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS