Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis siasat video FB Live oleh Rohingya
Diterbitkan:  Apr 29, 2020 2:56 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Bukit Aman telah memulakan siasatan terhadap video Facebook Live yang menunjukkan beberapa lelaki Rohingya mengucapkan kata-kata yang menyinggung perasaan orang Melayu di Malaysia, dan satu lagi rakaman latihan senjata api melibatkan kumpulan itu yang dikatakan untuk digunakan bagi menentang pihak yang mengancam keselamatan mereka.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed, video Facebook Live itu melibatkan tiga lelaki Rohingya yang dulu pernah tinggal di Malaysia dan kini menetap di Wisconsin, Amerika Syarikat.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan ketiga-tiga lelaki terbabit telah menjelaskan dalam video berkenaan bahawa mereka sebenarnya menyatakan kemarahan terhadap seorang pemimpin NGO Rohingya di Malaysia dan bukan kepada orang Melayu.

"Ketiga-tiga lelaki berkenaan menyatakan bahawa orang Melayu telah membuat provokasi dengan komen yang menjatuhkan maruah masyarakat Rohingya. Di penghujung Live Facebook itu, mereka menjelaskan bahawa sebenarnya kemarahan tersebut bukan ditujukan kepada orang Melayu di Malaysia, sbaliknya kepada Zafar Ahmad, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (Mehrom).

"Selain itu, mereka turut memaparkan video latihan menembak sebagai persediaan untuk mempertahankan diri.

"Percubaan awal kumpulan ini adalah menyatakan kemarahan dan ketidakpuasan hati mereka terhadap Zafar Ahmad kerana menganggap komen yang dinyatakan oleh presiden Mehrom tersebut bukanlah suara etnik Rohingya yang tinggal di Malaysia," kata Huzir dalam suatu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan JSJ lagi, tiga lelaki terbabit menggunakan perkataan kasar dan lucah.

Bagaimanapun, jelas Huzir, Facebook Live lelaki terbabit telah menimbulkan perdebatan antara mereka dan sekumpulan orang Melayu di Facebook, dan sejak itu menyebabkan mereka saling berbalas-balas komen biadab, penghinaan dan ugutan.

Ini kemudiannya menyebabkan hantaran satu video lain pula, yang dimulakan dengan dua lelaki, yang dipercayai orang Rohingya, sedang berlatih menembak pistol di tempat yang disebut Milwaukee-Jackson Park.

"Ketiga-tiga lelaki dalam video tersebut menyatakan kesediaan mereka bertindak balas dengan menggunakan senjata api berkenaan sekiranya diancam,

"Mereka juga mengancam secara lisan dan menyatakan 'orang Melayu' memberikan komen yang kasar di Live Facebook berkenaan dan menghina masyarakat Rohingya.

"Jelas mereka, masyarakat Rohingya yang tinggal di Amerika Syarikat jauh lebih bebas dan dilayan secara adil berbanding di Malaysia," Kata Huzir.

Menurut pengarah JSJ lagi, polis setakat ini telah menerima 19 laporan mengenai video tersebut dan mereka sedang menjalankan siasatan mengenai perkara itu di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil kerana kelakuan aib, Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ancaman jenayah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi.

Beliau juga mendesak orang ramai untuk menghentikan spekulasi mengenai siasatan yang sedang berlangsung mengenai kes ini, dan tidak memuat naik atau berkongsi apa-apa yang berkaitan dengannya yang dapat menimbulkan ketegangan masyarakat dan mengganggu keharmonian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS