Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PKP: Hukuman penjara 30 hari terhadap ibu tunggal diganti denda RM1,000

Seorang ibu tunggal menarik nafas lega selepas hukuman penjara 30 hari yang dijatuhkan ke atasnya kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), digantikan dengan denda RM1,000 oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Norsharidah Awang mengetepikan hukuman penjara yang dibuat oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh B Lisa Christina, 30, pada 22 April lepas.

"Saya mengambil kira bahawa pemohon (Lisa Christina) merupakan pesalah pertama dan ibu tunggal, serta telah berada di dalam penjara selama lapan hari. Saya harap ini akan menjadi pengajaran kepada kamu dengan mematuhi PKP.

"Jika awak ulangi kesalahan ini saya tidak akan teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman lebih berat. Oleh itu saya ketepikan hukuman penjara 30 hari dan mengenakan denda RM1,000 atau dua minggu penjara jika gagal bayar," kata Norsharidah.

Lisa Christina yang sebelum ini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang membayar denda itu.

Pada 21 April lepas, wanita itu dijatuhi hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersama-sama tiga individu lain berhimpun dalam kawasan tempat berjangkit yang telah diwartakan di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Eksekutif pemasaran itu didakwa melakukan kesalahan di kawasan tangga, taman permainan, Jalan SM1, Taman Subang Mas, Subang Jaya, kira-kira 4.45 petang pada 12 April lepas dan dihukum mengikut Peraturan 11 (1) Peraturan sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Rajpal Singh yang mewakili Lisa Christina berhujah, hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas anak guamnya keterlaluan dan majistret didakwa gagal mempertimbangkan bahawa anak guamnya merupakan warga Malaysia, pesalah pertama, tiada rekod kesalahan lampau dan bukan pesalah jenayah berat yang selalu ingkar undang-undang.

"Anak guam saya dituduh berhimpun dengan tiga lelaki warga Indonesia di kawasan tangga di kediamannya dan sebelum ditahan anak guam saya turun untuk beli minuman di kedai berhampiran taman permainan. Ketika nak naik ke rumahnya semula anak guam saya ditegur oleh seorang daripada lelaki Indonesia tersebut dan ketika itulah polis menahannya.

"Selain itu, terdapat isu ‘inconsistency’ membabitkan hukuman di mana majistret pada hari sama hanya mengenakan denda RM1,000 untuk dua pesalah kes PKP lain. Jadi pemohon juga sepatutnya diberi hukuman denda," katanya yang turut dibantu peguam Datuk Suraj Singh.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahida Wan Omar pula berhujah, hukuman penjara terhadap ibu kepada seorang anak lelaki berumur enam tahun itu adalah berpatutan dengan mengambil kira keseriusan kesalahannya dan kepentingan awam.

Beliau berkata, majistret telah mengambil kira semua faktor mitigasi dalam memutuskan hukuman terhadap wanita itu dan mengenai dakwaan hukuman tidak konsisten, hujahnya, adalah tidak wajar untuk membandingkan hukuman ke atas Lisa Christina dengan kes-kes lain, yang mempunyai fakta berbeza.

Dalam hujahan bertulisnya, Wan Shahida menyatakan bahawa tiga lelaki Indonesia yang ditahan bersama-sama Lisa Christina turut didakwa di mahkamah sama dan juga dijatuhi hukuman penjara 30 hari.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS