Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tetap 1 Jun dengar hujah kes rasuah SRC Najib
Diterbitkan:  Apr 29, 2020 1:54 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan tiga hari bermula 1 Jun untuk mendengar hujahan kes SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V Sithambaram memberitahu Bernama bahawa tarikh yang ditetapkan untuk hujahan lisan itu sebelum ini pada 18 hingga 20 Mei telah dilapangkan.

Beliau berkata mahkamah juga menetapkan 5 Mei bagi pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan bertulis mereka manakala 19 Mei bagi menjawab hujahan bertulis berkenaan.

"Sebelum ini mahkamah menetapkan 28 April bagi kami memfailkan hujahan bertulis tetapi dijadualkan semula selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk lanjutan masa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Pada 11 Mac, pihak pembelaan menutup kesnya setelah memanggil 19 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari bermula 3 Dis tahun lepas.

Ahli Parlimen Pekan itu menjadi saksi pertama pembelaan.

Sebelum itu, 57 saksi dipanggil memberi keterangan di peringkat kes pendakwaan.

Pada 11 Nov tahun lepas, bekas menteri kewangan itu diperintah membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, iaitu tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dana SRC.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS