Bekas menteri besar Johor Khaled Nordin mengakui rapuhnya gabungan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu, tetapi menolak "habuan politik" dalam bentuk lantikan jawatan sebagai penyelesaiannya.
Khaled yang juga naib presiden Umno berkata, PN hanya akan kukuh dan berfungsi dengan baik di Johor jika ia mampu menawarkan strategi yang baik bagi merealisasikan potensi negeri itu.
"PN di Johor akan kekal selagi keduanya berkehendak untuk mengekalkannya...Tetapi mengukuhkan PN dengan ‘political rewards’ melalui pelantikan dalam GLC dan pelbagai lagi, bukanlah jalannya.
"PN tidak ditubuhkan dengan mandat rakyat. Ia mesti mengetepikan segala kepentingan lain kecuali kepentingan rakyat. Jawatan, gelaran dan habuan bukan matlamat PN ditubuhkan. Matlamatnya ialah menyelamatkan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Khaled mengulas kenyataan Setiausaha Bersatu Johor Solihan Badri yang meminta parti yang membentuk PN tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan, dengan membangkitkan 11 adun parti itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Solihan juga berkata penyertaan Bersatu dalam syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain perlulah dijadikan sebagai rukun kesepaduan dalam PN.
'Jangan ambil mudah kewujudan Bersatu dalam PN Johor'
'Persefahaman Bersatu dan Umno perlu diterjemah dalam agihan jawatan'
'Guna kerusi untuk majukan negeri'
Setuju dengan Solihan berkenaan kerapuhan PN di Johor, Khaled bagaimanapun berkata permainan politik angka - dengan masing-masing membandingkan kekuatan - hanya akan merugikan gabungan itu.
"...Benar bahawa PN di Johor adalah sesuatu yang tidak pernah dirancang. Ia lahir dari sesuatu yang tidak terjangka dan UMNO tampil dengan persefahaman untuk sama-sama mengurus keadaan politik ini.
"Tetapi selagi semua pihak bermain politik angka, tiada siapa yang akan menang. Bersat dengan 11 kerusi dan Umno 16 kerusi tidak akan kemana tanpa kedua-duanya saling bersefahaman untuk tujuan yang lebih besar dan ideal," katanya lagi.
Katanya lagi, kelangsungan PN di Johor bergantung kepada kemampuan untuk menawarkan penyelesaian kepada kehidupan penduduk dan pembangunan negeri.
"Hanya Johor yang merasai perubahan dan pembangunan akan menyelamatkan PN, bukannya angka dan jumlah kerusi. Maka gunakanlah kerusi di DUN itu untuk memberikan kelainan dengan memajukan negeri, dan bukan untuk saling melemahkan," katanya lagi.
Isu pelantikan jawatan antara kedua-dua parti itu turut diakui oleh bekas menteri besar Johor, Osman Sapian yang berkata ia bukan sahaja berlaku di peringkat negeri, malah persekutuan.
Seorang pemimpin Bersatu Johor yang enggan dinamakan turut bersetuju dengan kenyataan Solihan, bahawa persefahaman dalam PN perlu diterjemahkan dalam bentuk material seperti agihan jawatan.