Seorang inspektor polis dihadapkan dengan pertuduhan pemerdagangan manusia dan salah guna kuasa kerana didakwa mengeksploitasi dua wanita Mongolia untuk tujuan seks, di Mahkamah Sesyen Klang hari ini.
Hazrul Hizham Ghazali mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika pertuduhan dibaca kepadanya di depan hakim Tasnim Abu Bakar.
Menurut pertuduhan pertama, lelaki berusia 30 tahun itu dikatakan melakukan pemerdagangan manusia dan salah guna kuasa untuk mengeksploitasi seorang wanita Mongolia untuk seks di sebuah hotel di Petaling Jaya, antara pukul 10.30 malam 10 April hingga pukul 8.30 malam 11 April.
Menurut pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan pemerdagangan manusia dan salah guna kuasa terhadap seorang lagi wanita Mongolia atas tujuan yang sama dan di hotel dan waktu yang sama.
Kedua-dua wanita itu berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Inspektor tersebut yang bertugas di balai polis Petaling Jaya didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom).
Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun dan denda.
Hakim Tasnim membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM20,000, dengan seorang penjamin.
Tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasportnya dan melapor diri di balai polis terdekat sekali sebulan.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya (DPP) Mohammad Al Saifi Hashim mencadangkan ikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam bela Shah Rizal Abdul Manan meminta nilai yang lebih rendah atas dasar tertuduh memberi kerjasama penuh ketika siasatan dan telah digantung tugas.
Hakim menetapkan 17 Jun ini untuk sebutan kes.
Terdahulu, tertuduh dilaporkan sedang bertugas di sekatan jalan raya perintah kawalan pergerakan (PKP) di Petaling Jaya ketika polis menahan sebuah kenderaan yang membawa mangsa.
Selepas gagal memberi penjelasan berkenaan perjalanan mereka, wanita tersebut ditahan tetapi dibawa ke sebuah hotel, bukannya ke balai polis.