Paling Popular
Terkini

Hampir enam minggu terkandas di kolej kediaman masing-masing akibat penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, akhirnya, para penuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dibenarkan pulang beransur-ansur bermula semalam.

Bagi mahasiswa yang sudah selamat tiba di kampung halaman masing-masing, kebenaran itu disambut dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Bagi Khairul Amir Mohd Rosli, 26, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, dia pada awalnya menjangkakan pelajar hanya akan dibenarkan pulang selepas tempoh PKP tamat 12 Mei nanti, itu pun sekiranya ia tidak dilanjutkan buat kesekian kalinya.

“Perasaan tu sudah tentu gembira dapat balik rumah lepas beberapa bulan tak balik, dapat peruntukkan masa dengan keluarga sepanjang bulan puasa ini. Gembira dapat buat persiapan raya dengan keluarga walupun raya tahun ini takkan sama dengan tahun-tahun lepas.

“[...] Adik beradik semua gembira sebab semua dah ada dekat rumah, boleh iftar, sahur sekali (selepas ini),” kata anak sulung daripada lima beradik itu, yang tiba di ibu pejabat polis daerah Kulim pagi tadi, sebelum diambil ayahnya.

Khairul Amir

Menceritakan perjalanan pulang ke kampungnya di Kulim, Kedah, Khairul berkata bas bertolak semalam membawa 16 orang pelajar, dan berhenti seketika di Hentian Sebelah Taiping, namun hanya dua pelajar dibenarkan ke tandas pada satu-satu masa, sebelum perlu membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum dibenarkan menaiki bas semula.

Tak semua zon dapat balik

Bagaimanapun, penuntut tahun akhir jurusan kejuruteraan mekatronik itu berkata bukan semua pelajar bernasib baik memandangkan ada yang masih perlu tinggal di kolej atas faktor-faktor tertentu.

“Ada yang gembira dan ada yang sedih sebab tak semua zon dapat balik. Harap semua kawan-kawan dapat balik sebelum raya ni,” katanya lagi yang tinggal di Mahallah (kolej) Salahuddin sepanjang PKP.

Cadangan agar pelajar terkandas di kampus dibenarkan pulang dibangkitkan ketika PKP masuk fasa kedua, sebelum disuarakan Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad pada 11 April dan kemudiannya Menteri Pertahanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedia mempertimbangkan perkara tersebut pada 21 April.

Pada 24 April, Ismail mengumumkan kebenaran diberikan untuk cadangan berkenaan, namun buat masa ini hanya tertakluk pada pelajar yang tidak tinggal di zon merah, dan mahu pulang ke zon hijau.

Zon hijau adalah kawasan yang bebas jangkitan Covid-19, sementara zon merah adalah kawasan dengan 41 atau lebih kes Covid-19.

Bagi Nurul Aina Fatihah Lokmanolhakim, 21, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, kepulangannya pagi tadi disambut dengan linangan air mata ibu setelah lama terkandas di kampus.

Nurul Aina

“Mak ayah gembira sangat-sangat sebab lama dah terkandas dekat kolej. Mak menangis sebab rasa bersyukur anaknya pulang ke rumah,” katanya.

Jelas Nurul sebaik tiba di rumahnya di Pendang, dia membersihkan diri terlebih dahulu.

“Masa tu, ayah bagi tahu supaya letak barang-barang di luar rumah dulu. Saya masuk dulu, mandi terus, terus cuci pakaian yang saya pakai. Beg (saya), ayah sembur Dettol apa semua.

“Lepas tu baru kami berpeluk-peluk,” cerita pelajar tahun kedua Akademi Pengajian Islam Kontemporari itu lagi.

Hitung hari tunggu giliran

Kata anak sulung daripada empat orang adik beradik itu, di kolej kediamannya di Kolej Melati, hanya enam orang sahaja yang dibenarkan pulang, malah di bloknya sendiri, hanya dia yang dapat pulang ke kampung, justeru dia cukup bersyukur dapat berada di samping keluarga bulan Ramadan ini.

Jika ada yang sudah bergembira di kampung, ada pula yang menghitung hari giliran dihantar pulang, seperti Muhammad Aqil Ikmal Ahmad Zaki, 20, dari UiTM Shah Alam, yang tidak dapat menyembunyikan rasa teruja menanti perjalanan pulang yang dijangka pada minggu hadapan.

“Beg dah kemas dah. Tak sabar. Lama dah duduk sini.

“[...] Lega. Ingatkan dah raya dekat sini dah. Mula-mula tu, semua dah reda dah (beraya di kampus). Tapi bila kata boleh balik, Alhamdulillah, bolehlah beraya dekat rumah.

“[...] Saya seorang saja lagi tinggal sekarang ni dekat luar. Yang lain (ahli keluarga) semua dekat rumah dah,” katanya yang berasal dari Lenggong, Perak, ketika dihubungi hari ini.

Memperincikan giliran penghantaran pulang mengikut daerah, Aqil berkata, bermula semalam, pelajar-pelajar dari utara mula dihantar pulang terlebih dahulu, diikuti pelajar dari pantai timur, selatan, Sabah dan Sarawak, dan kemudian barulah ke Perak.

Aqil Ikmal

Katanya, berita kebenaran pulang buat pelajar IPT itu disambut dengan sorakan oleh kira-kira 30 rakannya di Kolej Teratai 1, terutamanya rakan-rakan yang berasal dari Sabah dan Sarawak yang menjangkakan mereka tidak berpeluang pulang beraya bersama keluarga tahun ini.

Kata anak kedua daripada enam adik-beradik itu, perkara pertama yang ingin dilakukannya apabila tiba di kampung halaman nanti ialah memeluk ibu dan ayahnya yang lama tidak berjumpa.

“Mesti peluk mak bapak dulu. Lama dah tak jumpa. Kali terkahir jumpa semester lepas, tahun lepas,” kata pelajar tahun kedua jurusan kejuruteraan sistem pintar itu lagi.

Bermula malam tadi, penuntut IPT mula dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing, melibatkan zon tengah dan zon utara, manakala beribu lagi dijangka bergerak esok, melibatkan zon utara, timur, Sabah, Labuan dan Sarawak.

Ismail semalam turut memaklumkan kerajaan masih mengkaji SOP sesuai untuk membawa pulang penuntut IPT ke rumah, yang melibatkan zon hijau ke zon merah atau sebaliknya.

Sementara itu, keadaan sedikit berbeza buat Hakeem Hamzah, 22 dari UIAM Gombak.

Katanya, meskipun telah mendapat kebenaran pulang ke rumah di Klang hari ini, dia hanya akan berbuat demikian pada pertengahan Ramadan nanti kerana ingin menabur bakti menyiapkan alatan perlindungan peribadi (PPE) buat petugas barisan hadapan.

Kata pelajar tahun ketiga jurusan undang-undang itu lagi, lebih-lebih lagi, kumpulan sukarelawan disertainya itu baru sahaja menerima 15 gulung fabrik baru yang memerlukan lebih ramai sukarelawan bagi menyiapkan permintaan PPE.

“Jadi kami semua buatlah benda tu sampai sebelum semua (pelajar) balik (rumah). Kami bantu mana yang boleh untuk pensyarah kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurur Hakeem, seramai kira-kira 60 sukarelawan terlibat memotong dan menjahit bagi menghasilkan kira-kira 100 PPE setiap hari, termasuklah kasut, gaun, jumpsut, topi dan tudung, manakala pelindung muka dihasilkan oleh kumpulan sukarelawan daripada jurusan kejuruteraan, UIAM Gombak.

Bagaimanapun, katanya memandangkan bilangan mesin menjahit yang agak terhad, mereka turut mengupah tukang jahit dari luar untuk menyiapkan permintaan PPE, sekaligus dapat membantu mereka mendapatkan pendapatan dalam musim PKP ini.

Berkongsi perasannya yang akan pulang ke rumah tidak lama lagi, Hakeem berkata sedikit sebanyak, dia tumpang rasa sayu buat rakan-rakannya yang tidak dapat pulang ke rumah, terutamanya bagi mereka yang berasal dari Johor.

“Ramai juga (tak dapat balik), lagi-lagi budak Johor. Anggaran, dekat 100 orang juga budak Johor. Di mahallah (kolej kediaman) saya ini pun ada dekat 20 orang Johor tak boleh balik,” kata penghuni Mahallah Salahuddin itu lagi.

Selain sukarelawan PPE, Hakeem juga turut serta dalam pasukan tugas khas, UIAM Special Task Force yang bergerak mengumpul dana bagi menjaga kebajikan pelajar UIAM Gombak sepanjang PKP. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS