Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengamal perubatan tradisional sedia bantu rawat pesakit Covid-19 simptom rendah

Beberapa pengamal perubatan tradisional dan komplimentari (TCM) berharap agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi ruang pihak mereka membantu merawat pesakit Covid-19.

Menurut Presiden Persatuan Tabib Orthopedik Tradisional Cina Dan Akupunktur Malaysia (FCPAAM), Ng Po Kok, rawatan yang boleh diberikan pihaknya adalah lebih kepada pesakit Covid-19 yang mempunyai simptom rendah.

“Kami boleh membantu kerajaan dengan mengunakan perubatan tradisional untuk merawat pesakit yang tidak serius, lebih kepada simptom rendah seperti selesema, sakit tekak bukan yang mempunyai masalah pernafasan.

“Perubatan tradisional ini digunakan lebih kepada untuk pencegahan dan meningkatkan imuniti (pesakit) bukan untuk pesakit yang serius,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambah Ng, pihak FCPAAM pernah mencadangkan perkara tersebut kepada KKM namun pihak kementerian menjelaskan bahawa mereka memerlukan bukti saintifik yang kukuh dari pakar perubatan tradisional terlebih dahulu.

“Kami dah cadangkan kepada KKM tetapi setakat ini (KKM) kata pihak mereka perlukan bukti perubatan yang kukuh,” katanya lagi.

Selain itu, Presiden Pertubuhan Perubatan Tradisional India (Peptim) S Raggupathi turut menjelaskan bahawa pihaknya sedia membantu sekiranya KKM mempertimbangkan untuk merawat pesakit Covid-19 menggunakan perspektif traditional.

“Kami akan sedia membantu jika KKM beri peluang,” katanya ringkas.


BERITA BERKAITAN: ‘Lebih 90% pesakit Covid-19 dirawat cara tradisional di Hubei sembuh’


Semalam, Ketua Pakar Perubatan dan Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong Dr Li Jun – menerusi wawancara khas 'Pocket Times' anjuran portal Sin Chew Daily- berkata bahawa kaedah perubatan tradisional turut digunakan dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 di wilayah Hubei, China.

Jelas Dr Li - yang mengetuai tujuh pakar perubatan lain dari China dalam misi berkongsi pengalaman memerangi wabak Covid-19 ke Malaysia - kini sekurang-kurangnya 95 peratus pesakit Covid-19 yang dirawat menggunakan kaedah perubatan tradisional itu sembuh.

"Pada awalnya kami menjangkakan ubat-ubatan ini berkesan hasil daripada pengalaman wabak SARS dan Mers-Cov namun apabila digunakan untuk Covid-19, ia sebaliknya menunjukkan kesan sampingan terhadap sesetengah pesakit.

"Walaupun masih belum ada lagi vaksin untuk Covid-19 namun buat masa sekarang, ubat tradisional Cina digunakan secara meluas untuk merawat simptom seperti demam, batuk ataupun masalah pencernaan bagi pesakit di China.

"Ia juga sekali gus dapat mengurangkan penggunaan mesin bantuan pernafasan memandangkan ubat tradisional terbukti dapat melancarkan sistem pernafasan dan pencernaan pesakit Covid-19 kronik yang terlantar lama di wad,” katanya.

Guna herba kuatkan imuniti tubuh

Sementara itu, Presiden dan Pengasas Gabungan Pertubuhan Pengamal Perubatan Melayu Malaysia Adzhar Latif turut berharap Malaysia juga dapat menggunakan pendekatan seperti negara China yang merawat pesakit dengan perubatan tradisional.

“Kalau di China pemikiran dan idea seperti itu dapat dilakukan, kita juga berharap agar setidak-tidaknya perubatan di Malaysia memainkan peranan dalam memberi peluang kepada konteks perubatan tradisional juga.

“Kami juga ada perubatan herba untuk menguatkan imuniti tubuh,” katanya.

N Ganabaskaran

Sementara itu, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) N Ganabaskaran menambah bahawa sebarang perubatan sekiranya telah disahkan, dikaji dan diuji secara berkesan kepada pesakit boleh digunakan untuk rawatan.

Bagaimanapun, jelasnya, pihak TCM perlu membuktikan secara saintifik bahawa perubatan tradisional yang digunakan itu tepat.

“Semua rawatan yang telah diteliti, diuji dengan baik boleh digunakan untuk (merawat) apa-apa penyakit.

“Kalau TCM boleh membuktikan secara saintifik perubatan tradisional itu tepai, tiada masalah,” katanya lagi.

Malaysia kini mencatatkan jumlah keseluruhan positif Covid-19 sebanyak 5,851 kes dengan 100 kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan berjaya melandaikan lekuk jangkitan dan kini berada dalam fasa pemulihan.

Malaysia berada di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu dalam usaha membendung Covid-19. Sekiranya tidak dilanjutkan, PKP dijangka tamat pada 12 Mei.

Lihat Komen
ADS