Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: Alhamdulillah, Kelantan sifar kes Covid-19
Diterbitkan:  Apr 28, 2020 5:38 PM
Dikemaskini: 9:38 AM

Kelantan merekodkan perkembangan positif selepas tiada lagi kes Covid-19 di seluruh negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, hari ini terdapat satu kes sembuh yang baru dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

Menurut beliau, ia menjadikan semua 152 orang pesakit Covid-19 di negeri itu sembuh secara keseluruhan.

"Status terkini, negeri Kelantan kekal tiada kes baru postif Covid-19 pada hari ini.

"Alhamdulillah, hari ini terdapat satu kes sembuh yang baru dari Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai menjadikan semua 152 orang pesakit positif Covid-19 di Kelantan telah sembuh secara keseluruhan," katanya yang berkongsi perkembangan kes harian negeri di Facebook, hari ini.

Sebagai rekod, Kelantan mencatatkan 155 kes keseluruhan dengan tiga kes melibatkan kematian.

Sementara itu Dr Izani berkata, pihaknya bagaimanapun berharap rakyat terus mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri dan ahli keluarga demi kesejahteraan bersama.

"Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan semua pihak atas kerjasama yang diberikan.

"Semoga dengan keberkatan bulan Ramadan ini menjadikan negeri Kelantan dan negara kita Malaysia bebas daripada wabak Covid-19. Insya-Allah," katanya juga Adun Kijang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS