Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan naikkan isu Rohingya hanya bila ada keperluan politik'

Pusat Rohingya Asean (ARC) menggesa kerajaan untuk merangka pelan tindakan jangka panjang dalam usaha untuk menyelesaikan masalah pelarian Rohingya.

Pengarah Eksekutif ARC, Dr Helmi Mohd Ibrahim berkata kerajaan perlu mengambil langkah proaktif supaya garis panduan dapat diikuti oleh mana-mana pihak yang ingin membantu.

“Pelan tindakan ini penting untuk keselamatan negara, rakyat tempatan. Masukkan juga pembangunan modal insan, untuk bantu pelarian.

“Jangan jadikan isu ini bermusim, hanya bila ada keperluan politik, baru kita akan naikkan,” jelasnya ketika dihubungi oleh Malaysiakini.

Helmi berkata negara berdepan kesukaran untuk membuat sebarang dasar atau pelan tindakan kerana tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951.

“Kita perlukan rujukan dalam membuat apa-apa dasar. Dalam keadaan sekarang kerana tidak meratifikasi konvensyen itu, tiada satu pun dasar atau pihak yang bertanggung jawab untuk tangani masalah ini.

“Akibatnya, apa yang kita ada sekarang hanyalah cakap-cakap dari mulut ke mulut. Penyelesaian yang dibuat pula hanya mengikut kreativiti masing-masing,” katanya.

Helmi turut menggesa kerajaan untuk mengukuhkan hubungan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR) supaya proses untuk menempatkan pelarian ke negara ketiga dapat dipercepatkan.

“Kita pernah buat sebelum ini dengan pelarian Vietnam, cuma ketika itu di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Memang tidak dinafikan ada pelbagai kesukaran, tapi sekarang kita boleh perbaiki," katanya lagi.

Pada masa lalu, Malaysia memiliki sejarah menerima pelarian atas dasar kemanusiaan. Pulau Bidong di Terengganu pernah menempatkan puluhan ribu pelarian Vietnam sejak 1978 selama 12 tahun sebelum mereka dipindahkan ke negara ketiga.

Selain itu, Malaysia juga pernah menerima pelarian dari Kemboja yang ketika itu lari daripada rejim Khmer Rouge pimpinan Pol Pot.

Ketika penghapusan etnik Bosnia oleh Serbia antara 1992 ke 1995, Malaysia turut memberi perlindungan kepada pelarian dari Bosnia-Herzegovina.

Bangunkan modal insan Rohingya

Sementara itu, Helmi turut berkata pelarian Rohingya perlu mendapatkan akses pendidikan demi kelangsungan hidup mereka.

“Kenapa pentingnya pendidikan? Untuk pembangunan modal insan mereka. Kalau mereka tiada pendidikan, insiden bot hanyut penuh dengan pelarian ke Malaysia tidak akan habis.

“Sebab itu perlunya pendidikan, supaya mereka boleh bangunkan negara mereka sendiri. Jika tidak, mereka akan sentiasa berada dalam keadaan daif,” jelas Helmi.

Isu Rohingya menjadi perhatian ramai di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa memintas cubaan sebuah bot membawa pelarian Rohingya memasuki negara ini pada 16 April lalu.

Bot yang membawa pelarian Rohingya itu membawa kira-kira 200 orang Rohingya yang mahu memasuki Malaysia menerusi perairan Langkawi.

Ekoran itu, badan hak asasi manusia antarabangsa Amnesty International (AI) berkata setiap negara di Asia Tenggara mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan “lautan di rantau itu tidak menjadi kubur” buat pelarian Rohingya yang mencari perlindungan.

Pada 16 Feb lalu, sekurang-kurangnya 14 nyawa melayang selepas sebuah bot dalam perjalanan menuju Malaysia membawa pelarian Rohingya karam di perairan selatan Bangladesh.

Sementara itu, AFP pada 17 April melaporkan 32 pelarian Rohingya dipercayai maut dalam sebuah bot yang sesak dengan kira-kira 400 penumpang yang "kebuluran."

Bot yang membawa hampir 250 kanak-kanak dan wanita itu pada awalnya menuju ke Malaysia tetapi terdampar di perairan Teluk Bengal hampir dua bulan sebelum diselamatkan pihak berkuasa Bangladesh.

Lebih 730,000 etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar selepas tindakan keras dilakukan tentera pada tahun 2017, memaksa mereka memenuhi kem-kem di sempadan Bangladesh.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyimpulkan bahawa kempen ketenteraan Myanmar itu dilaksanakan dengan "niat melakukan genosid".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS