Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sapura potong gaji hingga 45 peratus, pengurusan 50 peratus
Diterbitkan:  Apr 28, 2020 12:28 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Firma minyak dan gas Sapura Energy memotong gaji kakitangan sehingga 50 peratus untuk berdepan kemerosotan ekonomi yang disebabkan oleh wabak Covid-19 dengan potongan terbesar di kalangan pihak pengurusan tertinggi.

Sapura Energy, dalam satu kenyataan, menyatakan bahawa pihak pengurusan syarikat akan mengambil potongan gaji 50 peratus sementara pekerja lain akan melihat pengurangan gaji antara lima hingga 45 peratus.

"Sebagai pemimpin, sangat mustahak kita memikul sebanyak mungkin untuk melindungi pekerja kita, terutama mereka di peringkat bawah dalam barisan kita.

"Sepanjang tahun lalu, kami telah melakukan pelbagai usaha untuk mempermatapkan syarikat, termasuk meningkatkan kecekapan dalam cara kami beroperasi.

"Namun, Covid-19 dan harga minyak yang rendah telah menjejaskan keutuhan kewangan kami. Untuk mengekalkan perniagaan ini, kami perlu melaksanakan langkah berjimat cermat untuk mengekalkan aliran tunai," kata presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Sapura Energy, Shahril Shamsuddin.

Pemotongan gaji itu akan berkuatkuasa selepas Ramadan.

Syarikat itu menambah langkah berjimat cermat termasuk pengurangan tenaga kerja.

"Sebagai prinsip, kami akan memastikan mereka yang berpendapatan rendah kurang dibebankan dengan pemotongan ini," katanya.

Shahril mengakui bahawa industri ini akan berdepan kesukaran untuk bergerak semula tetapi berkata jika syarikat dapat mempertahankan daya tahannya, mereka akan tampil dengan lebih kuat.

Minyak mentah Brent jatuh di bawah paras AS$20 setong ketika sebahagian besar ekonomi dunia terhenti.

Sebahagian besar negara-negara di seluruh dunia mengenakan sekatan pergerakan ataupun penutupan dalam usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

[Baca berita penuh]

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS