Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saringan Covid-19 buat semua MP sebelum Dewan Rakyat bersidang
Diterbitkan:  Apr 28, 2020 11:09 AM
Dikemaskini: 3:09 AM

Semua ahli Parlimen perlu menjalani ujian saringan Covid-19 pada 14 atau 15 Mei ini, sebelum berlangsungnya persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 18 Mei ini.

Menurut notis yang dilihat oleh Malaysiakini, ujian tersebut akan diadakan di bangunan Parlimen pada jam 9 pagi hingga 3 petang.

Wakil rakyat perlu mendapatkan surat pengesahan daripada doktor sekiranya berhasrat untuk menjalani ujian tersebut di hospital atau klinik.

“Walau bagaimanapun, sekiranya Yang Berhormat memilih untuk menjalaninya di mana-mana hospital atau klinik kerajaan yang berdekatan, Yang Berhormat perlu mendapatkan surat pengesahan daripada doktor serta ujian ini hendaklah dilakukan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen dan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas.

“Sekiranya, ujian dibuat di mana-mana hospital atau pusat perubatan swasta, kos pembiayaannya tidak akan ditanggung oleh Parlimen Malaysia,” menurut surat yang ditandatangani oleh setiausaha Dewan Rakyat, Riduan Rahmat.

Surat itu turut menyatakan bahawa ahli parlimen yang gagal menjalani ujian tersebut tidak dibenarkan menghadiri persidangan sesi Dewan Rakyat yang berlangsung selama sehari itu.

Semalam wakil Pakatan Harapan telah bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusoff di Parlimen, dan mereka dimaklumkan bahawa semua ahli Parlimen akan diminta untuk melakukan ujian dua hari sebelum 18 Mei.

Dilaporkan juga bahawa pejabat Speaker sedang bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk membenarkan anggota parlimen dari Sabah dan Sarawak dikecualikan dari karantin 14 hari apabila mereka pulang dari Kuala Lumpur.

Namun, sumber dari PH lain, yang turut menghadiri pertemuan dengan Speaker memberitahu bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai jabatan kesihatan mereka sendiri dan juga peraturan mereka sendiri mengenai kuarantin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS