Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Malaysia era BN tak terima sesen pun dana luar bantu Rohingya’
Diterbitkan:  Apr 28, 2020 9:44 AM
Dikemaskini: 1:45 AM

Presiden Umno Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan ketika diperintah BN tidak satu sen pun dana asing yang dijanjikan bagi membantu pelarian Rohingya di negara ini.

Sebaliknya, jelas beliau, bantuan itu dikatakan diterima Malaysia ketika BN bukan lagi menjadi pemerintah, lapor Umno Online semalam.

Laporan itu bagaimanapun tidak menyebut dengan khusus sama ada dana itu disalurkan di era PH bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Saya sendiri telah mengusahakan bantuan daripada sebuah negara dan ketika BN memerintah, tidak ada satu sen pun bantuan itu diperolehi oleh kerajaan Malaysia atau masuk dalam mana-mana yayasan atau akaun peribadi seseorang… tidak ada langsung.

“Saya difahamkan bantuan itu telah dihantar ke Malaysia ketika BN tidak lagi menjadi pemerintah dan tentunya bantuan itu adalah usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan BN di mana saya sendiri telah memohon bantuan itu tetapi kita tidak bernasib baik kerana kita tidak lagi menjadi kerajaan.

“Perkara ini harus dijelaskan kerana saya tidak mahu timbul pelbagai tuduhan apatah lagi mereka yang menuduh itu menjadi orang yang menjana dosa kering terutama dalam bulan Ramadan ini,” beliau dipetik sebagai berkata.

Media rasmi Umno itu melaporkan, ketika Zahid menjadi timbalan perdana nenteri, beliau mengumumkan Qatar antara negara Islam berikrar memberikan penajaan untuk menyokong usaha Malaysia membantu pelarian Rohingya.

Qatar menerusi Qatar Development Fund (QDF) dilaporkan akan menyalurkan bantuan kewangan kepada pelarian Rohingya yang mempunyai kad Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Dana itu akan digunakan untuk pelaksanaan tiga projek tumpuan iaitu memberi latihan kemahiran dalam sektor perladangan dan perkilangan; mengendalikan prasekolah dan sekolah rendah anak Rohingya dan skim perlindungan insurans untuk rawatan dan perubatan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS