'Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul' adalah peribahasa yang tepat bagi menggambarkan pengorbanan petugas barisan hadapan yang kini sedang bertungkus lumus menangani penularan wabak Covid-19.
Lebih-lebih lagi mereka yang bertugas di sektor perubatan.
Selain berjuang menyelamatkan nyawa pesakit positif Covid-19, petugas barisan hadapan ini juga turut berperang dengan emosi masing-masing.
Mana tidaknya, ketika kita sedang selesa berada di rumah masing-masing bersama keluarga tersayang dan menjalani ibadah puasa dengan tenang, petugas barisan hadapan ini terpaksa bertugas serta menahan diri dengan mengenakan pakaian serta peralatan pelindung diri (PPE) dalam apa jua keadaan.
Salah seorang petugas barisan hadapan menceritakan pengalamannya bekerja dalam misi Covid-19 ketika di awal Ramadan melalui media sosial miliknya.
"Ramadan tahun 2020 sangat berlainan dengan tahun-tahun sebelum ni. Ketika ini saya dan beberapa rakan sekerja telah dihantar untuk menjalankan ‘mass screening’ (saringan massa) di salah satu kawasan PKPD (perintah kawalan pergerakan diperketatkan).
"Kami dipecahkan mengikut zon yang berlainan. Setiap zon mengikut jumlah penduduk yang berbeza dan kekuatan pasukan mengikut populasi penduduk. Ternyata menjalankan tugas sebagai petugas barisan hadapan ketika berpuasa sememangnya bukan mudah.
"Lebih-lebih lagi kepada sukarelawan perubatan yang turut serta membantu kami," tulisnya.
Bagaimanapun, menurut doktor perubatan itu beliau tetap positif dengan tugasan dan tanggunjawabnya selain memohon diberikan kekuatan.
"Terima kasih banyak kepada kamu semua. Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kami dan memberikan kami kekuatan semua dalam misi memerangi wabak Covid-19 ini pada hari hari mendatang," katanya.
Harapkan doa rakyat Malaysia
Seorang petugas barisan hadapan yang kini ditugaskan membuat saringan di kawasan zon merah Covid-19 di sekitar Lembah Klang setakat ini berkata dia dan rakan-rakannya masih dalam keadaan baik.
"Setakat ini semua okey lagi, tak ada moral down pakai PPE waktu bulan puasa ini," katanya.
Sementara itu, seorang kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Johor Bahru berkata tidak ada apa yang berbeza dengan rutin harian mereka.
Menurutnya, baik sebelum Ramadan mahu pun ketika semua umat Islam sedang menjalani ibadah itu.
"Situasi puasa saya rasa sama saja, macam sebelum penularan wabak Covid-19. Cuma, iyalah penat tu tetap ada dan sekarang ini kena pula kerja tak henti-henti. Sebab pesakit pun datang tanpa henti," katanya yang juga pembantu pegawai perubatan.
Bagi seorang jururawat yang berkhidmat di Johor Bahru pula, mereka masih bertahan sehingga kini dan mengharapkan rakyat Malaysia terus berdoa agar wabak Covid-19 segera berakhir.
"Alhamdulillah, okay saja dari hari pertama puasa. Cuaca pun tak terlalu panas. Tapi letih tu seperti biasa, memang letihlah sebab kami perlu bergerak dan berdiri dalam masa yang panjang. Tapi apa pun kami masih bertahan.
"Doakan kami terus kuat untuk negara dan Malaysia," katanya.
Akur dengan amanah
Sementara itu, seorang penolong pegawai perubatan di salah sebuah hospital di Lembah Klang yang enggan dinamakan berkata suasana berpuasa masih sama buat mereka.
Bagaimanapun, menurut beliau yang sebelum ini ditempatkan di kawasan yang dikenakan PKPD, melibatkan kawasan sekitar Selayang Baru, Selangor suasana itu berubah sebaik sahaja arahan dikeluarkan pihak atasan.
"Hari ini, hari keempat umat Islam menjalani ibadah puasa. Situasi berpuasa itu masih sama buat kami (petugas barisan hadapan) sehinggalah arahan turun ke medan dikeluarkan, maka kegalauan (kekalutan) mula melanda.
"Biasanya bertugas di luar waktu bulan puasa, ketahanan memakai PPE hanya boleh bertahan sehingga lima jam.
"Lebih dari itu, mulalah menjelma kelesuan, kepenatan dan peluh mencurah-curah. Adapun diluar waktu puasa, dehidrasi dapat diganti dengan minum banyak air setelah doffing (istilah yang digunapakai yang membawa maksud, PPE ditanggalkan)," katanya.
Bagaimanapun, tambahnya, mereka perlu akur.
"Arahan baru. Lokasi, PKPD Selayang Baru. Jangkaan kapasiti tapisan, 2,000 orang. Walau pahitnya terasa ditekak, tetap jua perlu ditelan dengan suasana mulut yang kekeringan.
"Hendak diingkar, ia arahan. Maka, menurutkan sahaja arahan yang baru diterima.
"Niat “Lillahitaala” – “AlJihad, sabiluna...sabiluna (Jalan Kami... Jalan Kami) antara nasihat yang membaurkan semangat untuk terusan bekerja," katanya yang baru sahaja selesai menjalankan tugas di pusat kuarantin selama lebih dua minggu .
Bagaimanapun, beliau berkata suasana di kawasan PKPD Selayang Baru jauh berbeza berbanding di hospital, klinik kesihatan mahu pun di pusat-pusat kuarantin.
"Gambaran yang terhidang dihadapan mata tidak jauh berbeza dengan hasil tangkap lensa media tempatan.
"Jika biasa bermain permainan video genre zombie, mesti dapat menjangka gambarannya. Benar-benar view cliche (pemandangan klise) – barrier (penghadang) anggota keselamatan dan ‘zon terinfeksi’. Ada sedikit perasaan gembira kerana berpeluang dalam meruntun suasana seperti ini.
"Namun bercampur aduk pula dengan perasaan risau. Risau dengan bakal ‘client’ nanti. Risau lagi dengan risiko jangkitan," katanya.
Katanya lagi, setelah meninjau tempat bertugas serta melapor diri di kem sementara kesihatan yang didirikan, mereka akan menunggu pula arahan seterusnya dari Health Field Commander.
"Sejurus, tanpa lengah, arahannya – sentiasa berada di dalam PPE. Arahan dituruti, terusan menyarung PPE. Dari hujung rambut sehingga hujung kaki, dibungkus plastik.
"Gerak kerja adalah secara berpasukan, seramai empat orang dengan tugasan yang berbeza-beza.
"Suasana wabak juga tidak menggalakkan gerakan secara berkumpulan, client turun secara berseorangan dan satu per satu.
"Masuk tengah hari, suasana di bawah kanopi membahang. Mandi peluh pada waktu puasa terlalu mengesan. Baru sahaja lapan orang client disaring, mata melilau mencari kawasan untuk lunjur kaki," ceritanya.
Ujarnya, doktor yang perasan dengan reaksinya mengeluar isyarat tangan dengan menunjukkan ibu jari.
Namun, dibalasnya dengan isyarat tangan ibu jari ke bawah, katanya.
Bagaimanapun, katanya, doktor yang bertugas akur dan faham dengan isyarat tersebut.
"Doktor beri arahan, 'okay team, take five'. Take five (rehat lima minit) yang tidak memberi banyak erti. Kerana pada waktu puasa ini, peluh yang mencurah tidak dapat diganti. Lenguh kaki, dapat juga berehat dengan lunjur seketika tapi PPE masih belum boleh di ‘doffing’," katanya.
Bagaimanapun, katanya apa yang mampu dilakukan adalah bertahan sahaja.
"Bertahan sahaja. Untuk amanah yang telah diberi, demi lencana di dada kami sedia membantu. Saya harungi jua! Selalu ingat kata-kata penyelia. Bayangkan wajah ketua pengarah kita. Dia tidak pernah ‘berehat’!" tegasnya.
Malaysia kini dalam fasa ketiga PKP selepas dilanjutkan tiga kali. TArikh baru perintah itu akan tamat ialah pada 12 Mei ini.
Setakat tengah hari semalam, Malaysia mencatatkan 5,820 kes dengan 99 kematian.
Mengambil kira 3,957 atau 67.9 peratus yang telah sembuh jumlah kes aktif Covid-19 di Malaysia ketika ini ialah 1,764 kes.
Daripada jumlah itu, seramai 37 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 17 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
Untuk petugas barisan hadapan, rakyat Malaysia hanya mampu berikan doa dan ucapan ribuan terima kasih atas semua pengorbanan mereka.