Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan ambil mudah kewujudan Bersatu dalam PN Johor'
Diterbitkan:  Apr 27, 2020 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Bersatu Johor meminta parti lain yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.

Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri, berkata 11 wakil rakyat parti itu serta seorang wakil bebas dalam dewan undangan negeri (DUN) mempunyai peranan penting untuk menentukan gabungan PN terus utuh sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Kita (Bersatu) berharap rakan dalam PN tidak mengambil mudah keberadaan Bersatu dalam PN kerana tanpa kami, kerajaan yang ada sekarang tidak mungkin menjadi kenyataan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia dibuat menjelang sidang pertama DUN Johor selepas kerajaan di negeri itu berubah daripada Pakatan Harapan (PH) kepada PN, dan selepas beberapa pemimpin Umno membuat kenyataan mengenai kedudukan parti itu dengan Bersatu.

Pada 25 April lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, menegaskan bahawa parti itu menegaskan mereka tidak pernah menyertai PN kerana gabungan itu tidak berdaftar seperti BN.

Kata Mohamad, hubungan Umno dengan PN hanya berbentuk persefahaman bagi "menyelamatkan Malaysia" daripada kemelut politik dicetukan kelompok tertentu dalam PH.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga menegaskan, mana-mana parti yang diluar Muafakat Nasional - yang dibentuk bersama PAS - dan BN tidak strategik untuk kelangsungan Umno. 

Korbankan jawatan MB

Sebelum itu Pengerusi Umno Selangor dan anggota Majlis Tertinggi Umno, Noh Omar, berkata selepas dilantik semula ke jawatan tersebut tumpuannya adalah untuk mengukuhkan Muafakat Nasional Selangor. 

Bersatu mempunyai lima wakil rakyat di DUN Selangor.

Beberapa insiden membabitkan pemimpin Bersatu juga mengundang kritikan daripada Umno, termasuk kejadian membabitkan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, yang menghadiri majlis makan di maahad tahfiz exco Perak di Lenggong baru-baru ini.

Untuk rekod, DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan untuk membolehkan sesebuah gabungan menjadi kerajaan, ia memerlukan sokongan minimum 28 Adun.

Perubahan kerajaan baru akhir Feb lalu juga menyaksikan Bersatu mengosongkan jawatan menteri besar untuk diberikan kepada Umno.


Baca Timb menteri kesihatan mohon maaf hadir jamuan


Solihan berkata perbezaan tipis di antara PN dan PH dalam DUN Johor bukan sesuatu yang memberi ketenangan apabila agenda persidangan disentuh.

“Bersatu berkorban jawatan menteri besar dan menerimanya dengan penuh komitmen.

“Rakan kita Umno, khususnya, tidak juga yakin boleh menang besar tanpa sokongan Bersatu, sebaliknya gabungan ini berpotensi menang dengan majoriti besar sekiranya semua pihak bekerja sama dalam setiap aspek, sama ada politik dan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Bekas MB Johor dari Bersatu, Dr Sahruddin Jamal

Solihan menambah penyertaan Bersatu dalam syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain perlulah dijadikan sebagai rukun kesepaduan dalam PN.

Adun Tenang itu berkata, PN kini mempunyai ruang luas dan sokongan untuk membangunkan Johor itu dari segi ekonomi dan politik.

“Perjuangan Bersatu yang kini bersama rakan-rakan baru harus diteruskan tetapi pada masa yang sama tidak boleh alpa, selesa dan berpuas hati dengan pencapian, ketika akar umbi yang setia dalam parti mengharapkan kebajikan serta perjuangan bertahun mereka melalui gerakan masa sehingga berjaya menumbangkan sebuah kerajaan kleptokrasi, dijaga dan disantuni,” katanya. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS