Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rayuan Zahid Hamidi cabar isu perlembagaan dua akta pada 7 Julai
Diterbitkan:  Apr 27, 2020 5:54 PM
Dikemaskini: 9:54 AM


Rayuan Ahmad Zahid Hamidi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mencabar dua akta berhubung penerimaan bukti dokumen, akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Jula

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid berkata prosiding berkenaan yang sepatutnya didengar hari ini, dijadualkan semula ke tarikh baharu.

Pada 18 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan bekas timbalan perdana menteri itu untuk mencabar dari segi perlembagaan Seksyen 41A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 71 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya berkata permohonan Ahmad Zahid itu pramatang memandangkan perbicaraan belum bermula.

Hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan pendakwaan serta menolak permohonan Ahmad Zahid dengan menyatakan persoalan berhubung bukti dokumen boleh dibangkitkan oleh pihak pembelaan semasa perbicaraan.

Ahmad Zahid menghadapi 47 pertuduhan, 12 daripadanya adalah pecah amanah (CBT), lapan untuk rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi kini masih di peringkat pendakwaan dengan 43 saksi telah memberi keterangan.

Sementara itu, Teh turut memaklumkan bahawa rayuan anak guamnya juga di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Ahmad Zahid untuk menggabungkan 12 pertuduhan CBT kepada tiga pertuduhan ditetapkan pada 23 Jun.

Beliau berkata prosiding itu sepatutnya didengar pada 16 April lepas.

Pada 8 Nov, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid Hamidi untuk menggabungkan pertuduhan itu yang dihadapinya melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati 12 pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid adalah jelas dan boleh difahami tertuduh untuk menyediakan pembelaan diri serta tidak menimbulkan sebarang isu prasangka.

Penetapan tarikh baharu berkenaan susulan perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei. Mahkamah hanya mengendalikan prosiding reman, kes baharu dan kes jaminan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS