Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Persekutuan kurangkan kadar potongan hutang T'ganu
Diterbitkan:  Apr 27, 2020 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Kerajaan Persekutuan bersetuju mengurangkan kadar pemotongan hutang kerajaan negeri Terengganu kepada lima peratus berbanding 25 peratus sebelum ini, melalui royalti minyak atau Wang Tunai Petroleum (WTP) bagi tahun 2020.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan perkara itu menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

“Berita gembira buat rakyat Terengganu hari ini, apabila Perdana Menteri,  Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bersetuju mengurangkan kadar pemotongan bayaran hutang kerajaan negeri Terengganu, 25 peratus kepada lima peratus pada tahun 2020 daripada bayaran WTP,” katanya.

Beliau berkata keputusan tersebut dicapai dalam satu pertemuan antara Muhyiddin, Zafrul dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob tengah hari ini.

Ahmad Samsuri berkata pertemuan tersebut turut membincangkan agenda berkaitan urusan kewangan kerajaan negeri dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baru-baru ini ketika menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Terengganu Lening’ di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, Ahmad Samsuri meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbang semula kadar pemotongan hutang kerajaan negeri melalui WTP.

Katanya ia bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan yang lebih khusus kepada keperluan rakyat negeri ini terutama ketika menghadapi kesan penularan pandemik Covid-19.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS