mk-logo
Berita
Polis siasat hantaran media sosial isu pelarian Rohingya
Diterbitkan:  Apr 27, 2020 4:00 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata pihak polis sedang menyiasat audio, video dan berita mengenai isu pelarian Rohingya ke negara ini, sehingga menimbulkan kenyataan berbaur kebencian di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, beliau hairan mengapa isu kedatangan Rohingya itu tiba-tiba dibangkitkan, sedangkan kedatangan mereka sebelum ini telah mendapat simpati dari Malaysia ekoran pelbagai musibah yang ditimpa mereka seperti dibakar hidup-hidup dan dibunuh dengan kejam.

“Semua berita-berita itu menyebabkan kita sebagai sebuah negara menerima mereka waktu itu dan tak ada isu pun.

“Tapi akhir-akhir ini tiba-tiba isu ni menjadi besar dan ini juga menghairankan pihak berkuasa, pihak polis terutamanya kerana akhir-akhir ini terlalu banyak berita-berita melalui media sosial, video misalnya dikeluarkan yang menimbulkan kemarahan rakyat kepada mereka.

“Jadi pihak polis sedang menyiasat perkara ini sebab ada juga yang menganggap sesetengah video dan audio itu adalah palsu. 

"Walau bagaimanapun tiada sesiapa pun boleh menentukan kesahihan palsu atau tidak kecuali pihak polis,” katanya pada satu sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu Rohingya dan bagaimana pihak keselamatan mengendalikan sentimen antipelarian itu supaya tidak mencetuskan sebarang insiden keganasan.

Isu Rohingya menjadi perhatian ramai di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa memintas cubaan sebuah bot membawa pelarian Rohingya memasuki negara ini pada 16 April lalu.

Bot yang membawa pelarian Rohingya itu membawa kira-kira 200 orang Rohingya yang mahu memasuki Malaysia menerusi perairan Langkawi.

Bertenang,  biar polis siasat

Ismail yang juga menteri pertahanan menasihatkan supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak menimbulkan isu-isu yang membangkitkan kemarahan sehingga boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini.

“Malaysia adalah sebuah negara aman dan kita terkenal dengan negara sangat bertimbang rasa oleh sesiapa saja yang ada di bumi Malaysia ini.

“Jadi saya harap kita bertenang dan kita beri peluang kepada pihak polis untuk menyiasat perkara-perkara yang ditimbulkan. Insyaallah polis akan siasat semua perkara yang ditimbulkan di dalam media sosial, YouTube dan sebagainya,” katanya.

Sebelum ini, keadaan pelarian Rohingya itu mendapat perhatian Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani, yang kemudiannya mengeluarkan kenyataan supaya kerajaan bertanggungjawab terhadap pelarian berkenaan.

Zafar turut didakwa mengeluarkan kenyataan menghina rakyat Malaysia, menuntut hak kerakyatan penuh.

Bagaimanapun, dia menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan palsu.

Kem pelarian Rohingya di Cox Bazaar, Bangladesh.

Pada 16 Feb lalu, sekurang-kurangnya 14 nyawa melayang selepas sebuah bot dalam perjalanan menuju Malaysia membawa pelarian Rohingya karam di perairan selatan Bangladesh.

Sementara itu, AFP pada 17 April melaporkan 32 pelarian Rohingya dipercayai maut dalam sebuah bot yang sesak dengan kira-kira 400 penumpang yang "kebuluran."

Bot yang membawa hampir 250 kanak-kanak dan wanita itu pada awalnya menuju ke Malaysia tetapi terdampar di perairan Teluk Bengal hampir dua bulan sebelum diselamatkan pihak berkuasa Bangladesh. 

Lebih 730,000 etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar selepas tindakan keras dilakukan tentera pada tahun 2017, memaksa mereka memenuhi kem-kem di sempadan Bangladesh.

Penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyimpulkan bahawa kempen ketenteraan itu dilaksanakan dengan "niat melakukan genosid".

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Januari mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera melindungi penduduk Rohingya daripada tindakan kejam - keputusan yang dipuji sebagai "kejayaan keadilan antarabangsa" oleh negara kecil Afrika yang membawa kes itu ke ICJ.

Tindakan undang-undang yang failkan Gambia pada November tahun lalu kepada badan tertinggi PBB untuk pertikaian antara negara itu, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya dengan melanggar konvensyen 1948.

Keputusan akhir mahkamah mungkin mengambil masa bertahun-tahun, dan keputusan pada Khamis hanya melibatkan permintaan Gambia untuk langkah-langkah awal, lapor Reuters.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS