Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bagi sesetengah orang menunggang kuda adalah hobi tetapi bagi DSP Nurhidayah Damanhoori ia adalah keperluan tugas.

Dalam sebuah video terbitan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai pemerintah Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) itu berkongsi rahsianya bagaimana untuk mahir menunggang binatang itu.

Bagaimanapun, ternyata tiada petua khusus untuk mahir selain bersedia jatuh banyak kali kerana itu adalah perkara biasa untuk semua penunggang.

Nurhidayah berkata kebiasaannya seorang penunggang akan jatuh sewaktu latihan melompat dan ketahanan.

“Risiko jatuh memang tinggi. Kalau berada di atas kuda, ketinggian dalam 10 kaki.

“Kalau bernasib baik, jatuh atas pasir. Kalau tidak, atas jalan tar,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkongsi pengalaman beliau sewaktu jatuh dari kuda dua hari sebelum sambutan Hari Polis Negara.

“Saya tak bernasib baik, lagi dua hari nak sambut Hari Polis, jatuh atas tar.

“Waktu itu, memang lebamlah mata sampai seluruh pasukan saya terpaksa pakai Ray-Ban (cermin mata hitam) untuk tutup lebam pada mata saya,” katanya lagi.

 Menjejakkan kaki sebagai ketua pangkalan Unit Berkuda Putrajaya, beliau kini telah bertugas bersama-sama dengan unit itu yang berpangkalan di Cheras sejak tahun 2017 lagi.

“Memang saya minat masuk unit berkuda. Waktu itu, saya sedang belajar menunggang kuda dengan kelas persendirian di Universiti Teknologi Malaysia.

“Ketika itu, unit berkuda mengadakan sesi menunggang di sana. Jadi, saya merisik-risik sekiranya ada jawatan dekat sini,” katanya.

Selain itu, Unit Berkuda PSP Cheras turut melakukan pemantauan dalam Ops Covid-19 di kawasan sekitarnya.

Jadi pegawai penyiasat dulu

Kata Nurhidayah, minat terhadap unit berkuda wujud ketika dalam Pusat Latihan Polis (Pulapol) tetapi inspektor pelatih ketika itu digalakkan untuk menjadi pegawai penyiasat.

“Jadi saya ambil dulu pengalaman sebagai pegawai penyiasat, pegawai penyiasat kanan, saya pun pernah bertugas di jabatan pengurusan untuk ambil pengalaman di lapangan.

“Barulah rezeki saya datang selepas 10 tahun dalam pasukan untuk saya meneruskan khidmat sebagai pegawai pemerintah unit berkuda sehingga sekarang,” tambahnya lagi.

Beliau turut berkata unit itu yang paling sesuai dengan jiwanya kerana minatnya terhadap haiwan.

Unit Berkuda PSP Cheras menempatkan 50 ekor kuda yang terdiri daripada beberapa baka dengan baka utama Warm Blood, Polo, Arab, dan Tara yang ditugaskan setiap hari.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS