Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat, tidak mematahkan semangat Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) daerah Klang untuk terus memberi perkhidmatan terbaik dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Tinjauan Malaysiakini ke bilik gerakan PBSM daerah Klang semalam mendapati mereka menyediakan hampir semua jenis bantuan keperluan asas kepada penduduk di sekitar Klang dan Lembah Klang.
Ditubuhkan pada tahun 1956, ibu pejabat PBSM Klang terletak bersebelahan bangunan siasatan jenayah narkotik, ibu pejabat polis daerah Klang Selatan.
Sebaik sahaja menjejak kaki di pekarangan bilik gerakan berkenaan, pelawat diminta melalui alat penyembur pembasmi kuman sebagai langkah berjaga-jaga.
"Kami menjadikan ibu pejabat kami, sebagai bilik gerakan Covid-19 sejak 27 Mac untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Buat masa ini kami mempunyai lebih 100 anggota PBSM dan sukarelawan di sini untuk membantu kami," kata pengerusinya Song Kee Chai.
Berkongsi pengalaman PBSM dalam menangani krisis Covid-19, Song berkata sehingga kini mereka telah menyediakan bantuan makanan dapur kepada lebih 7,000 keluarga.
"Kami menerima sumbangan daripada Persatuan Pengusaha Logam dan Barang-Barang Kitar Semula India Malaysia (MIMTA), ahli-ahli dermawan dan juga dari rumah-rumah ibadat.
"Kami menolak sebarang sumbangan kewangan. Kami hanya terima sumbangan dari segi barangan dan sebagainya. Kemudian, kami agihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan Klang dan Lembah Klang.
"Badan (PBSM) ini tidak bermotifkan politik dan tidak melihat latar belakang seseorang dalam memberi bantuan. Ini adalah misi kemanusiaan.
"Kami akan terus memberi yang terbaik," katanya yang mengalu-alukan sebarang bantuan barangan keperluan dan tenaga kerja di bilik gerakan PBSM Klang.
Tambahnya, selain bantuan barangan dapur kepada 7,000 keluarga, mereka juga memberi bantuan makanan seperti ikan dan sayur-sayuran kepada lebih 3,200 keluarga.
Sediakan makanan untuk barisan hadapan
Selain itu, Naib Pengerusinya A Saravanan Joe berkata pertubuhan itu juga menyediakan makanan kepada barisan hadapan dan rakyat miskin.
"Daripada sumbangan yang diterima, kami mempunyai sukarelawan untuk memasak untuk 500 anggota barisan hadapan dan rakyat miskin.
"Kami masak di belakang bilik gerakan. Tiap-tiap hari, kami menyediakan makanan kepada 200 anggota barisan hadapan, 200 rakyat miskin di sekitar Klang dan 150 masakan khas bagi yang berbuka puasa.
"Kami juga memberikan bantuan makanan kepada 1,000 orang sebanyak tiga seminggu di Kapar," katanya.
Beliau menambah pertubuhan itu mempunyai 35 ahli yang bertindak sebagai barisan hadapan di tiga buah klinik.
"Kita mempunyai 35 anggota pertubuhan di barisan hadapan di tiga buah klinik masing-masing di Klinik Pandamaran, Bukit Kuda dan Bandar Botanik.
"Mereka berkerja dalam tiga syif denagn membuat ujian periksa suhu badan, pemerikasaan kesihatan jika terdapat simptom dan sebagainya. Sekiranya ada simptom, individu tersebut diasingkan di kawasan tertentu sebelum dirujuk kepada doktor untuk rawatan lanjut," katanya.
Nyah kuman bangunan kerajaan
Selain itu, PBSM Klang juga menyediakan perkhidmatan semburan nyah kuman di bangunan-bangunan awam.
"Penjara Shah Alam dan beberapa bangunan sekitar Klang adalah antara kawasan dinyah kuman oleh pertubuhan kami.
"Kami ke sana (bangunan kerajaan) untuk membantu mereka dinyah kuman. Ini adalah untuk memastikan wabak ini tidak menular," kata M Somasuntharam.
Tambahnya, selain memberi bantuan, pertubuhan itu juga bertindak memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai ancaman wabak Covid-19 ini.
"Semasa mengedar bantuan makanan, kami bertanya beberapa soalan seperti tahap kesihatan ahli keluarga.
"Matlamat kami adalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kebersihan diri dan sekeliling," katanya.
Dalam pada itu, S Thinesvaran, pengerusi Biro Bencana dan Reaksi Kecemasan PBSM Klang berkata misi pihaknya kini adalah memberi bantuan kepada lebih 250 keluarga yang terjejas akibat banjr.
"Sejak tiga hari hujan lebat di kawasan Klang memperlihatkan banyak tempat dinaiki banjir.
"Jadi, kami mengarahkan sukarelawan kami untuk bantu mereka. Setakat ini kami beri bantuan makanan termasuk barangan dapur kepada lebih 20 keluarga di sekitar kawasan Meru," katanya.