Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selepas 1 kes positif, 60 peniaga pasar Taman Megah akan jalani ujian

Sejumlah 60 peniaga pasar pagi Taman Megah di Petaling Jaya akan menjalani ujian saringan Covid-19 selepas salah seorang peniaga disahkan positif wabak itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Sebagai sebahagian daripada pengesanan kontak rapat kes aktif, saya dimaklumkan ada 60 peniaga di sana. Kita telah tutup pasar, dan akan buat ujian saringan terhadap mereka kerana mereka dianggap sebagai kontak rapat.

"Jadi kita harap dapat kesan mereka yang positif dan berkaitan dengannya (pesakit yang telah disahkan)," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata pejabatnya menerima maklumat berkenaan seorang peniaga di pasar itu yang dijangkiti Covid-19.

Beliau berkata mereka yang sering ke pasar itu, terutama yang mengalami gejala, dinasihatkan agar menjalani ujian.

Bagaimanapun Noor Hisham berkata, bukan semua perlu menjalani ujian, jika tidak mempunyai kontak rapat dengan peniaga.

Noor Hisham

"Kecuali mereka ada kontak rapat, baru mereka perlu buat ujian.

"Tetapi apa yang lebih peting, kita ingin galakkan mereka agar elakkan perhimpunan awam, penjarakan sosial sangat penting, dan pastikan basuh tangan apabila pergi ke pasar.

"Ini adalah kebiasaan baru dan kita perlu pastikan semua langkah berjaga-jaga diambil dan kekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi," katanya lagi.

Dalam pada itu, Noor Hisham turut mengulas kenyataan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) behawa tiada bukti orang yang sudah pulih daripada Covid-19 dan mempunyai antibodi, tidak akan dijangkiti semula.

Menurut Noor Hisham, walaupun ada kemungkinan jangkitan semula, Malaysia setakat ini belum mempunyai kes itu daripada 5,780 pesakit yang telah dijangkiti.

Bagaimanapun beliau berkata, antibodi dalam badan mereka yang telah sembuh memang tidak memadai untuk menghalang jangkitan kali kedua.

'Pelaksanaan ujian dikaji semula'

Berkenaan isu ujian saringan di Menara City One Kuala Lumpur, Hoor Hisham berkata pihaknya akan menyemak semula pelaksanaannya.

Ia selepas penduduk membuat aduan bahawa ramai yang diarah ke tempat ujian pada masa yang sama, menyebabkan penjarakan sosial tidak dapat dilakukan sepanjang proses.

Semalam, Noor Hisham berkata ia berlaku akibat kelemahan dalam komunikasi antara KKM dan penduduk.

Justeru, beliau dalam sidang media hari ini berkata KKM akan bekerjasama rapat dengan polis untuk mengelakkan ia berulang.

"Mungkin kita akan lihat, bukan seluruh blok, tapi mungkin tingkat demi tingkat.

"Saya rasa ia lebih kepada koordinasi dan kita telah arahkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan berhubung perkara ini," katanya.

Beliau juga menyentuh soal bekalan peralatan perlindungan peribadi (PPE) untuk pekerja kesihatan yang semakin berkurang, justeru mungkin mendedahkan mereka terhadap jangkitan Covid-19.

Katanya, setakat ini belum ada pekerja kesihatan yang bertugas di wad Covid-19, atau merawat pesakit wabak itu, yang telah dijangkiti.

Kira-kira 80 peratus pekerja kesihatan yang disahkan positif Covid-19 berjangkit daripada komuniti, misalnya kerana menghadiri majlis perkahwinan, katanya.

"Apabila mereka kembali ke hospital, mereka berisiko menjangkiti pekerja lain. Ia bukan kerana mereka bekerja di wad Covid-19, ataupun merawat pesakit Covid-19.

"Ia bukan soal (bekalan) PPE," katanya lagi.

Sebuah lagi pasar, yang terletak di Bahau, Negeri Sembilan, ditutup hari ini setelah seorang peniaga disahkan positif Covid-19.

Noor Hisham berkata, peniaga itu dari pasar borong Kuala Lumpur, yang berulang alik dari Kuala Lumpur ke Bahau untuk menguruskan perniagaan.

Bagaimanapun, katanya lagi, ia bukan kluster baru dan KKM menganggap peniaga itu sebahagian daripada kluster pasar borong Kuala Lumpur.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS