Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
7,000 anak Sarawak pulang berperingkat mulai 1 Mei

KORONAVIRUS | Kira-kira 7,000 anak Sarawak yang belajar dan terkandas di Semenanjung Malaysia sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lepas akan dibawa pulang secara berperingkat.

Menteri Kanan (Infrastruktur) Fadillah Yusof hari ini berkata kepulangan mereka akan bermula pada 1 Mei ini.

Beliau berkata buat masa ini kerajaan sedang mengumpul maklumat terperinci setiap pelajar yang diperolehi dari Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, institut pendidikan guru dan kolej Mara.

“Maklumat terperinci ini penting untuk kita mengenal pasti di mana pelajar itu belajar, tinggal dan hendak balik ke mana (destinasi di Sarawak),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat khas Covid-19 bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba di Kuching.

Menurut Fadillah, kumpulan pelajar terbabit akan dipecahkan kepada empat zon, melibatkan yang belajar di Pantai Timur (Terengganu dan Kelantan) yang akan balik melalui Terengganu, zon tengah (Pahang, sebahagian Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka) melalui KLIA, zon telatan dari Johor Bahru manakala zon utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan sebahagian Perak) dari Pulau Pinang.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata setibanya di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, mereka akan menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Saya nak maklumkan kepada ibu bapa dan pelajar, (mereka) tidak akan balik terus ke rumah, apabila sampai saja di destinasi mereka akan dibawa ke tempat kuarantin untuk disaring.

“Sampel akan diambil dan diuji, mereka akan dikuarantin menunggu keputusan.

"Jika negatif, baru akan dihantar balik ke rumah ataupun berkemungkinan diuji kemudian terus akan dihantar ke rumah untuk kuarantin di rumah,” katanya.

Fadillah berkata penting bagi pelajar yang akan balik ke kawasan hijau - contohnya di Kapit - agar betul-betul bersih supaya tidak ada virus dibawa ke kawasan tersebut.

“Ini penting untuk menjaga keselamatan anak-anak, keluarga mereka dan masyarakat di kawasan hijau agar terperlihara, tidak akan ada virus yang boleh dibawa ke kawasan tersebut, itu matlamat kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS