mk-logo
Berita
K'jaan telah agih lebih 24 juta topeng muka
Diterbitkan:  Apr 26, 2020 4:49 PM
Dikemaskini: 8:49 AM

Kerajaan telah mengedarkan sebanyak 24.8 juta keping topeng muka secara percuma setakat semalam, menurut Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, jumlah itu sebahagian daripada 30.7 juta topeng muka yang diperuntukkan kerajaan untuk edaran secara percuma, seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Sehingga semalam (25 April) sebanyak 24.8 juta topeng muka telah diagihkan, yang mana setiap isi rumah telah diberi empat topeng muka.

“Bekalan topeng muka juga telah dihantar ke Sabah dan Sarawak dan dalam proses pengagihan ke daerah-daerah,” katanya pada sidang media harian Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkembangan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Ismail sekali lagi memaklumkan pengagihan topeng muka dikendalikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melalui 162 pejabat daerah di seluruh negara.

Dalam kenyataan minggu lalu, Nadma berkata lebih 44 juta topeng muka telah diedarkan kepada petugas barisan hadapan dan juga isi rumah sejak 18 April.

Dalam jumlah tersebut, Nadma berkata 11.9 juta topeng disimpan untuk bekalan petugas barisan hadapan.

Bakinya akan diedar secara berperingkat dan sehingga kini sejumlah 8.163 juta topeng muka telah diedarkan kepada isi rumah sejak 2 April lalu.

Topeng muka tersebut diedarkan kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Pasukan Pertahanan Awam, dengan setiap paket berisi empat topeng dengan label sumbangan daripada kerajaan Malaysia.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS