Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Covid-19: Tiada kematian, 100 pesakit pulih, 38 kes baru
Diterbitkan:  Apr 26, 2020 4:34 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Tiada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu kekal sebanyak 98, atau 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di Malaysia, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam sidang media di Putrajaya hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan seramai 100 pesakit pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 3,862, atau 66.8 peratus.

Sementara itu, sebanyak 38 kes baru Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini kepada 5,780, katanya lagi.

Mengambil kira pesakit yang sudah pulih, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di Malaysia kini 1,880. "Mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan di hospital," kata Noor Hisham.

Seramai 36 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), iaitu sama seperti bilangan semalam.

Daripada jumlah itu, 15 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, kurang seorang berbanding semalam.

Noor Hisham sekali lagi menasihati orang ramai agar terus kekal di rumah serta mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan yang baik.

"Sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap membasuh tangan dan mengamalkan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain.

"Orang awam dipohon untuk memainkan peranan masing-masing dalam menangani kejadian Covid-19 di Malaysia," katanya lagi. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS