mk-logo
Berita
Saifuddin ulas netizen: 'Apakah kamu yakin PH tak rompak?'
Diterbitkan:  Apr 26, 2020 2:59 PM
Dikemaskini: 7:11 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah hari ini membangkitkan keraguan mengenai integriti pentadbiran PH dalam komitmennya untuk membanteras rasuah.

Pada catatan di Facebook mengulas komen Asma Azha, Saifuddin tidak menuduh sesiapa secara khusus, namun menyoal netizen itu sekiranya dia pasti pentadbiran terdahulu bersih.

"Apa you yakin PN pun tak merompak dan rasuah.

"Sis, you kenal PH sebelum jadi keraaan dan ada kuasa. Bila Allah uji dengan kuasa dan wang sama saja. Manusia berubah," tulis Saifuddin.

Jelasnya, PH pada suatu waktu menentang lantikan politik tetapi didakwa melanggar ikrar ini.

"Dulu PH marah lantikan politik, lepas berkuasa siapa yang jadi special envoy ke China? Siapa yang duduk di board (Lembaga) Pelabuhan Kelang dan Kuantan?

"Saya bekas menteri luar saya tahu siapa yang merayu dekat PM untuk lantik (MP Cheras) Tan Kok Wai (sebagai duta khas). So apa bezanya?" Soal Saifuddin.

Komen-komen ini, bersama dengan serangkaian maklum balas beliau kepada netizen lain, terpapar sekurang-kurangnya satu jam di laman Facebooknya sebelum tidak lagi dapat diakses.

Malaysiakini telah menghubungi Saifuddin untuk mendapatkan penjelasan mengenai kenyataan yang mencadangkan berlakunya 'rompakan dan rasuah' ketika pentadbiran sebelum ini.

Beliau belum menjawab permintaan untuk mendapatkan penjelasan.

Saifuddin pernah menjadi setiausaha majlis presiden PH dan tokoh penting dalam gabungan politik itu.

Beliau keluar daripada gabungan itu untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran baru pimpinan Muhyiddin Yassin selepas "Langkah Sheraton" pada hujung Februari.

Kerajaan Muhyiddin dikritik kerana melantik pemimpin Bersatu, PAS, Umno dan tokoh politik lain untuk menerajui GLC dan agensi kerajaan.

Penyokong parti pemerintah baru Perikatan Nasional berpendapat PH turut membuat lantikan politik.

Bagaimanapun, penyokong PH berkata gabungan itu hanya berjanji lantikan politik tidak akan dibuat untuk jawatan dalam GLC, yang kelihatannya ditepati sepanjang dua tahun pentadbirannya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS