Paling Popular
Terkini

Prihatin terhadap kesusahan dialami pelarian Rohingya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), NGO Cakna Palestin membantu kira-kira 650 keluarga etnik itu di Kelantan.

Timbalan Presiden II Cakna Palestin Abdul Shakur Sharrie berkata, inisiatif diambil pihaknya dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir Agama Kelantan, NGO Masyarakat Rohingya Kelantan, Misi Kembara Dakwah dan sejumlah wakil rakyat.

Katanya, sekitar 650 keluarga komuniti Rohingya yang tinggal di 11 daerah di Kelantan dikenal pasti dan bantuan telah disalurkan sejak dua minggu lalu.

"Kita bergerak dari satu ke daerah yang lain dalam usaha menyalurkan bantuan barangan keperluan asas kepada keluarga rohingya ini. Antaranya di Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Puteh, Pasir Mas, Kuala Krai dan Gua Musang.

"Susulan penguatkuasaan PKP, kehidupan dan mata pencarian mereka juga terjejas. Kita dapati ramai di kalangan mereka merupakan golongan miskin tegar," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Malaysiakini turut melaporkan kesusahan yang dialami keluarga Rohingya yang kehilangan mata pencarian selepas PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

PKP kini memasuki fasa ketiga dan dijadual berakhir 12 Mei.

Sementara itu, Abdul Shakur berkata pihaknya cuba membantu sekadar termampu bagi memastikan masyarakat itu dapat meneruskan kehidupan.

"Usaha ini juga berjaya dibuat dengan sumbangan derma orang ramai dan kita menguruskan supaya setiap sumbangan agar sampai kepada mereka yang layak.

"Insya-Allah kita akan teruskan usaha ini dari semasa ke semasa," katanya yang juga koordinator Cakna4Rohingya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyumbang melalui akaun Bank Islam Cakna Palestin 0301 8010 1229 39 atau boleh menghubungi Abdul Shakur di talian 013-930 0009.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS