Bulan Ramadan sering menjadi bulan bagi ramai orang untuk menjana pendapatan tambahan sehingga berlipat kali ganda daripada kebiasaan.
Bagi yang bekerja, ada yang sanggup mengambil cuti tanpa gaji untuk menumpukan perhatian terhadap perniagaan sambilan mereka.
Namun, bagi pengusaha kuih raya yang ditemubual Malaysiakini, rata-rata daripada mereka terpaksa bersedia menghadapi kerugian besar tahun ini gara-gara pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sewaktu bulan puasa.
Oleh itu, kebanyakan mereka terpaksa mengubah strategi tanpa menaikkan harga jualan.
Bagi pengasas Lets Kudap2, Norakmah Mat Youb, 39, tahun ini dia lebih menumpukan kepada jualan kerepek berbanding biskut atau kuih raya.
Selain itu, dia juga menyasarkan jualan atas talian dan menggunakan ejen untuk menjual kerepek yang dihasilkan berbanding bergantung kepada jualan di booth.
“Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, tahun ini saya hanya menempah kuih raya mengikut pesanan ejen sahaja dan lebih banyak memfokuskan produk kerepek dan kudap-kudapan.
“Jualan saya dijangka menurun sebanyak 85 peratus berbanding tahun lalu berikutan ejen dan pelanggan lebih berhati-hati untuk berbelanja di samping kesukaran untuk proses penghantaran.
“Saya menjangkakan hasil jualan hanya mampu diraih kira-kira RM10,000 sepanjang Ramadan ini,” katanya yang sudah menjangkakan penularan wabak Covid-19 dari Wuhan, China itu akan menjejaskan negara.
Oleh itu katanya, strategi awal sudah diambil tanpa menaikkan harga jualan, meskipun perlu menangung kenaikan kos bahan-bahan.
“Kenaikan harga itu kita tanggung sepenuhnya kerana tidak mahu pelanggan terbeban terutamanya dalam keadaan ekonomi masa kini,” katanya yang telah berkecimpung dalam perniagaan ini selepas berhenti kerja pada 2016.
Hadkan tempahan
Sementara itu, bagi Farhanah Akbar Ali, 32, dan Nor Azah Razali, 35, kedua-dua mereka mengambil langkah mengehadkan tempahan tahun ini.
Menurut mereka yang tinggal di luar kawasan Lembah Klang, tempahan untuk kawasan yang jauh menyukarkan penghantaran kerana bimbang keadaan biskut raya rosak sebelum tiba ke destinasi.
“Sangat berbeza, tahun ni jualan jatuh teruk. Dulu saya boleh hantar dari Johor sampai ke Kuala Lumpur. Tapi tahun ni hanya beberapa tempat di Johor saja. Itu pun terpaksa upah runner untuk tolong hantar.
“Tahun ni sama macam tahun sebelumnya, di mana memang saya hanya promosi secara atas talian sahaja. Tapi jualan saya memang jatuh hampir 80 peratus berbanding tahun- tahun sebelum ini,” kata Farhanah.
Kata Farhanah, sebelum ini dia akan menjual lapan hingga 10 jenis biskut raya berbanding hanya satu pada tahun ini iaitu Almond London.
“Kuih-kuih lain seperti Mama Carey, Tart Nenas, Matahari, Cornflake Chocolate, Chocolate Chip, Suji tahun ni tak dapat dibuat sebab saya risau sambutan tak berapa okey dan takut membazir,” katanya.
Bagaimanapun, bagi menjana pendapatan lebih, suri rumah dan usahawan itu akan turut membuka tempahan selepas tempoh PKP dan selepas hari raya Aidilfitri.
Bagi Nur Azah yang baru berpindah dari Pahang ke Kedah pula berkata dia bukan sahaja hilang pelanggan lama dari Pahang tetapi terpaksa mengehadkan pemintaan tempahan yang jauh.
“Dah berhenti ambil tempahan sebab susah nak keluar (beli barang). Tempahan online yang jauh-jauh saya tolak, penghantaran pun saya ambil yang berdekatan saja sebab takut kalau pos, takut biskut tak sama rupanya," katanya yang mengalami penurunan tempahan sebanyak 50 peratus daripada biasa..
Katanya, ada rakan-rakannya dari Pahang turut meminta tempahan daripadanya tetapi dia enggan mengambil risiko kerana bimbang biskut raya yang dihasilkan akan hancur sekiranya dikirim menerusi pos.
Tambahnya, selalunya seminggu atau dua minggu sebelum bermulanya Ramadan, dia akan sibuk membakar kuih tetapi pada tahun ini, untuk hari pertama berpuasa dia sudah menyiapkan separuh daripada tempahannya.
Jualan laris, fikir lebih awal
Berlainan pula bagi pengusaha kek lapis Irah Hajerah Azman yang pada awalnya menjangkakan jualannya juga turut merudum.
Tetapi sebaliknya berlaku apabila jualan kek lapisnya meningkat sejak PKP.
“Alhamdulillah, sejak PKP jualan kita mencanak naik. Mungkin kek lapis premium senang di pos. Jadi (waktu) PKP pun masih dapat buat penghantaran seluruh Malaysia dengan harga yang berpatutan.
“Memandangkan saya ada perjanjian dengan beberapa kedai bakeri untuk bahan-bahan seperti mentega dan tepung, harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding pembelian secara berasingan.
“Jadi tak ada alasan untuk saya naikkan harga kek. (Malah) dari bulan Disember 2019, saya mula membuat jualan melalui Instagram,” katanya.
Bagaimanapun, berbeza untuk tahun ini, dia tidak berpeluang menyertai bazar Ramadan kerana ia dibatalkan berikutan penularan wabak Covid-19.
“Tapi insyaAllah, jualan tak terjejas walaupun tak ada bazar,” katanya.
Pada 23 April, iaitu sehari sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh PKP dilanjutkan untuk dua minggu lagi, sehingga 12 Mei.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.