Paling Popular
Terkini

Pelaksanaan pernikahan secara dalam talian (online) ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dipertikai kerana majlis akad nikah masih boleh diadakan dengan kehadiran minimum serta mematuhi peraturan PKP.

Peguam Syarie Mohamad Nasir Desa berkata turut menjadi persoalan apabila "pernikahan online" juga tidak termasuk dalam tatacara pendaftar nikah cerai rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Setakat lima orang berkumpul dalam masjid yang begitu luas, tak kan melanggar peraturan PKP? Tak kan tak boleh ada penjarakan sosial?

"Yang berduyun dan bersesak di pasar raya boleh saja, malah rombongan kawan-kawan menteri yang pergi jumpa beliau di pejabat pun jauh lebih ramai.

"Dia (nikah online) kena ikut peraturan tatacara nikah yang ditetapkan pendaftar nikah cerai rujuk Wilayah Persekutuan," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysia mencatat sejarah apabila pasangan Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif diijabkabulkan secara dalam talian baru-baru ini.

Mereka menjadi pasangan pertama di Malaysia dinikahkan melalui sidang video dalam talian yang dilaksanakan oleh Jawi.

Majlis akad nikah kedua-dua pasangan berusia 29 tahun itu diadakan di rumah keluarga masing-masing di Setapak dan Setiawangsa, sambil disiarkan secara langsung oleh saluran TV Al-Hijrah.

Tidak seperti majlis akad nikah biasa, Muhammad Don dilihat duduk di ruang tamu dengan disertai oleh ahli keluarganya yang lain, manakala Nahdatul Aisyah ditemani kedua ibu bapanya.

Muhammad Don dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail.

Permohonan kebenaran bernikah dalam talian merupakan inisiatif Jakim dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri bagi memudahkan pasangan yang ingin diijabkabulkan ketika tempoh PKP.

Perlu termaktub dalam peraturan

Dalam pada itu, Nasir berkata pelaksanaan nikah dalam talian hanya boleh dilakukan jika ia termaktub dalam peraturan ditetapkan Jawi.

"Kalau ada peraturan boleh, kalau tidak ada peraturan kena melaksanakan majlis akad nikah, tidak boleh secara maya (online)," jelas bekas ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (Iksim).

Tambahnya, ia akan menimbulkan masalah pada masa depan sekiranya peraturan itu belum wujud namun pernikahan dalam talian telah dilaksanakan.

Malah katanya, berpandukan kepada Mazhab Imam Syafie akad dalam pernikahan adalah perkara yang penting.

Berdasarkan carian dan rujukan Malaysiakini, peraturan itu belum wujud dalam pendaftar nikah cerai rujuk Wilayah Persekutuan.

Begitu juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Mawip) juga belum memfatwakan kebenaran nikah secara dalam talian.

Penikahan secara dalam talian diluluskan oleh muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2011, namun hanya Negeri Sembilan dan Selangor telah mewartakan fatwa berkenaan.

Hasil carian melalui e-fatwa pejabat mufti juga tidak menemukan sebarang data mengenainya.

Perlu lihat syarat pelaksanaan

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin, berkata pernikahan dalam perlu melihat syarat pelaksanaannya.

Jika pelaksanaanya memenuhi syarat dan rukun pernikahan serta dilaksanakan dengan sempurna maka ia adalah sah, katanya.

"Bagi saya nikah online kena tengok syarat pelaksanaannya, kalau cukup rukun, cukup syarat sah akad dan syarat sah akan dilaksana dengan sempurna, maka sah lah nikah online itu.

"Kalau syarat pelaksanaan akad tak sempurna, maka tak sah lah pernikahan itu, nikah online ini perlu dilakukan ikut prosedur dan dikendalikan pihak berkuasa agama.

"Jangan fikir pernikahan online seperti membeli barang di Lazada," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS