Arab Saudi dilaporkan akan menghapuskan pelaksanaan hukuman sebat, menurut dokumen dari mahkamah tinggi kerajaan negara itu yang dilihat oleh Reuters pada hari Jumaat.
Keputusan itu yang dibuat Suruhanjaya Mahkamah Tinggi sekitar bulan ini, menyaksikan hukuman tersebut akan digantikan dengan hukuman penjara atau denda, atau kedua-duanya sekali.
"Keputusan ini adalah lanjutan reformasi hak asasi manusia yang diperkenalkan di bawah arahan Raja Salman dan pengawasan langsung Putera Mahkota Mohammed Bin Salman," kata dokumen itu.
Hukuman sebat telah diterapkan sebagai satu sistem menghukum berbagai kesalahan jenayah di Arab Saudi.
Kumpulan hak asasi telah mendokumentasikan kes-kes di masa lalu di mana hakim negara itu menjatuhkan hukuman sebat terhadap pesalah atas pelbagai kesalahan, termasuk mabuk dan gangguan terhadap orang ramai.
"Pembaharuan ini adalah langkah penting dalam agenda hak asasi manusia Arab Saudi," kata presiden Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (HRC) Awwad Alawwad kepada Reuters.
Bentuk hukuman yang lain, seperti memotong tangan untuk pencuri atau pancung kepala kerana kesalahan pembunuhan dan keganasan, masih kekal.
"Ini adalah perubahan yang dialu-alukan tetapi seharusnya terjadi bertahun-tahun yang lalu," kata Adam Coogle, Wakil Pengarah Bahagian Timur Tengah dan Afrika Utara di Human Rights Watch.
"Tidak ada yang menghalang Arab Saudi untuk mereformasi sistem kehakimannya yang tidak adil," katanya lagi.
- Reuters