Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Johor disaran buka permohonan Bantuan Ihsan secara dalam talian
Diterbitkan:  Apr 25, 2020 12:58 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Adun Johor Jaya Liow Cai Tung menggesa kerajaan negeri Johor untuk membuka permohonan Bantuan Ihsan secara dalam talian.

Katanya, ia bagi memudahkan pemohon bantuan tunai berkenaan dan mengelakkan berlakunya pelanggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila pemohon berkumpul di pusat saluran kerana ingin menyerahkan maklumat masing-masing.

Selain itu, ia bagi mengelakkan kelewatan apabila pemohon perlu terlebih dahulu menyerahkan maklumat kepada ejen pusat saluran yang dilantik, sebelum maklumat borang permohonan itu kemudiannya perlu dimasukkan ke dalam sistem e-Ihsan Johor oleh ejen.

“Saya tertanya-tanya kenapa kerajaan negeri Johor tidak terus membuka permohonan secara dalam talian bagi memudahkan rakyat, seperti untuk permohonan BPN (Bantuan Prihatin Nasional).

“Rasanya ini akan lebih memudahkan Pusat Maklumat Ihsan Covid-19 Johor memandangkan tugasnya adalah untuk memproses maklumat permohonan oleh orang atau isi rumah untuk bantuan ini.

“Dengan permohonan dalam talian, perhimpunan orang ramai dapat dielakkan kerana ramai orang telah dan akan pergi ke pusat saluran untuk bertanya mengenai bantuan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ejen pusat saluran terbabit terdiri daripada Pejabat Menteri Besar, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan pejabat Adun.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, kata Liow, pejabat Adun Johor Jaya telah menyediakan menyediakan satu kotak khas “drop off” di luar pejabat untuk mengumpul borang permohonan bagi meminimumkan kontak antara satu sama lain.

Selain itu, Liow turut mempersoalkan adakah bantuan itu turut terbuka kepada pekerja asing memandangkan berdasarkan garis panduan disediakan, ia terbuka kepada pemohon warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia.

Pada 17 April, Menteri Besar Johor Ir Hasni Mohammad mengumumkan bantuan tunai antara RM250 dan RM500 kepada rakyat yang bukan tergolong sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau BPN, dalam berhadapan kesan pandemik Covid-19, meliputi juga golongan M40.

Katanya, pusat makluat Ihsan Johor memerlukan setiap pemohon menyatakan latar belakang masing-masing dari segi status pekerjaan dan tanggungan, dan pemarkahan akan diberikan untuk menentukan kelayakan mereka mereka amaun bantuan.

Bagaimanapun, kata Liow, tiada tarikh ditetapkan untuk agihan bantuan berkenaan, sebaliknya hanya dimaklumkan bahawa permohonan akan ditutup apabila PKP dan pandemik Covid-19 berakhir, manakala keputusan permohonan pula tertakluk kepada kerajaan negeri Johor.

Sedangkan, katanya, PKP telah dilanjutkan sehingga 12 Mei dan bulan Ramadan pula sudah bermula.

Justeru dia menggesa kerajaan negeri Johor mengambil tindakan yang lebih cepat, telus dan memudahkan rakyat dalam masa yang kritikal ini, terutamanya buat kumpulan B40 yang amat bergantung kepada bantuan seperti ini untuk memenuhi keperluan harian mereka.

“Saya bersama NGO telah mengambil tindakan proaktif dan menghantar barangan terus ke rumah penerima kerana mereka mengadu kepada saya bahawa pengagihan makanan dari kerajaan terlalu lambat dan makanan di rumah sudah habis.

“Pejabat DUN Johor Jaya juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengagihkan barangan keperluan kepada masyarakat beragama Islam sempena bulan Ramadan supaya tiada masyarakat yang tercicir," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS