Pakatan Harapan (PH) Melaka sebulat suara menamakan bekas ketua menteri, Adly Zahari, sebagai calon tunggal pembangkang di dewan undangan negeri (DUN).
Setiausaha PH Melaka Khoo Poay Tiong berkata semua 11 wakil rakyat gabungan terbabit - membabitkan Adun Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Kelebang, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir, dan Bemban - kekal teguh bersama,
"PH Melaka komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan negeri, terutamanya dalam situasi wabak Covid-19 ini.
"Justeru kami sebulat suara bersetuju menamakan Adly sebagai ketua pembangkang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adly merupakan Adun Bukit Katil yang mewakili Amanah dan pengerusi PH Melaka. Sebelum ini beliau dilantik menjadi ketua menteri sehinggalah beberapa Adun DAP dan PKR membelot untuk menjadi penyokong Umno serta Bersatu.
DUN Melaka dijadual bersidang sehari pada 11 Mei ini.
Khoo berkata ia merupakan sidangan DUN yang pertama selepas krisis politik dan pertukaran kerajaan berlaku baru-baru ini.
Ahli parlimen Kota Melaka itu menjelaskan keputusan menamakan Adly dibuat selepas PH negeri berkenaan mengadakan mesyuarat secara dalam talian semalam.