Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Thailand catat 15 kes baru, tiada kematian hari ini

GLOBAL | Thailand merekodkan 15 kes baru Covid-19 dan kematian sifar, menjadikan jumlah keseluruhan 2,854 kes dan 50 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata seramai 2,490 pesakit telah pulih dan didiscaj dari hospital manakala 314 masih dirawat.

Beliau berkata 10 dari 77 wilayah tidak merekodkan kes baru bagi tempoh 28 hari.

“Jangkitan daripada kluster yang aktif masih berlaku di wilayah Chonburi, Phuket, Pattani, Yala dan Chumpon dan setiap kluster melibatkan antara lima dan 51 individu yang dijangkiti,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata empat daripada 15 kes baru yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam itu adalah dari Yala, Selatan Thailand iaitu lokasi pihak berkuasa aktif menjalankan ujian Covid-19.

Thaweesilp berkata pihak berkuasa kesihatan juga sedang memperhebatkan ujian makmal.

Ketika ini, beliau berkata terdapat 123 makmal di seluruh negara - di hospital awam dan swasta untuk ujian Covid-19 dengan 10,000 sampel di Bangkok dan 10,000 lagi di wilayah lain.

Thaweesilp berkata sejak kerajaan melaksanakan perintah berkurung dari 10 malam hingga 4 pagi pada 4 April lepas, seramai 12,830 yang ingkar perintah itu termasuk 10,858 yang meninggalkan kediaman dan 1,972 berkumpul dalam kumpulan besar.

“Kumpulan terbesar berumur antara 19 hingga 30 tahun,” katanya.

Sementara itu, Thaweesilp berkata seramai 2,589 warga Thai telah kembali sejak pembukaan semula sempadan darat di negara itu, kebanyakan mereka masuk melalui pusat pemeriksaan sempadan di selatan.

“Kami menjangkakan lebih 2,500 warga Thai akan pulang melalui pusat pemeriksaan sempadan darat esok sehingga 30 April,” katanya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS