Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Noor Hisham: M'sia berjaya landaikan keluk jangkitan Covid-19

Malaysia berjaya melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dan kini memasuki fasa pemulihan dalam usaha membendung pandemik itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham berkata, ia berdasarkan pemeriksaan terhadap model ramalan (predictive model), di mana data pada 3 April menunjukkan 217 kes, dan tiada peningkatan kes baru melebihi angka itu selepasnya.

Katanya, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) pada mulanya menjangka kemuncak pada 14 April dengan 6,300 kes, tetapi ia tidak berlaku.

"Kita dalam fasa pemulihan, bukan fasa puncak. Kita harap dapat meneruskan momentum ini dan mengurangkan kes.

"Tetapi jika kita kurang berwaspada, mungkin akan berlaku peningkatan mendadak. Jadi penting untuk kita teruskan (perintah kawalan pergerakan) dari fasa 1 dan fasa 2," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kita melihat sedikit kejayaan daripada PKP fasa satu, dua dan tiga. Kita berjaya kawal, landaikan keluk dan kawal kes (jangkitan baru)," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan sama ada Malaysia mungkin akan menghadapi kemuncak jangkitan baru Covid-19 yang kedua, selepas bilangan jangkitan pada 3 April lalu.

Terdahulu, Noor Hisham memaklumkan terdapat 88 jangkitan baru setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikannya hari kelapan berturut-turut bilangan jangkitan baru di bawah angka 100.

Hari ini seramai 121 pesakit sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 3,633.

Seorang lagi pesakit meninggal dunia, menjadikan angka korban setakat ini seramai 96 orang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS