Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPT) dan swasta (IPTS) yang terkandas di kampus akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula hari Isnin ini, bersamaan 27 April.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata pergerakan itu akan diatur dengan ketat, dan buat masa ini para pelajar hanya dapat kembali ke zon hijau jika mereka tidak tinggal di zon merah pada masa ini.
Zon hijau adalah kawasan yang bebas jangkitan Covid-19, sementara zon merah adalah kawasan dengan 41 atau lebih kes Covid-19.
"Mesyuarat telah bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelajar bermula Isnin, 27 April 2020.
"Waktu perjalanan dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal dan tidak melibatkan pergerakan besar-besaran," katanya dalam sidang media hari ini.
Kata Ismail, dalam mesyuarat khas pagi ini, Menteri Pengajian Tinggi, Dr Noraini Ahmad telah membentangkan SOP proses penghantaran pulang pelajar IPT dan IPTS di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) termasuk politeknik dan kolej komuniti.
SOP itu termasuklah menetapkan agar pelajar yang terlibat menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan dan topeng muka.
Kapasiti penumpang dalam bas pula akan dihadkan separuh daripada jumlah sebenar bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.
Pelajar kemudian akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah atau Pejabat Daerah yang terdekat dengan rumah mereka dan kemudian anggota agensi kerajaan yang ditugaskan akan menghantar mereka ke rumah masing-masing.
Sementara itu, bagi pelajar yang ingin menggunakan kenderaan sendiri, mereka dibenarkan berbuat demikian dengan syarat ia tidak melibatkan perjalanan merentas negeri.
Mereka juga diwajibkan mendapatkan kebenaran daripada IPT dan balai polis terdekat.
Bagi pelajar yang berhasrat untuk pulang ke Sabah atau Sarawak pula, penerbangan pulang ke negeri masing-masing
akan disediakan oleh kerajaan.
Mereka akan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung mereka dan diwajibkan kuarantin 14 hari.
Jelas Ismail lagi, pelajar yang memilih untuk terus berada di kampus akan disediakan makanan dan minuman seperti biasa.
"Pengumuman selanjutnya dan lebih terperinci mengenai pergerakan pelajarakan dibuat oleh pihak KPT.
"Bagi pelajar di IPT di bawah kawal selia kementerian lain seperti Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, proses penghantaran pulang perlu mengikuti SOP yang ditetapkan," katanya.
Sejak tujuh hari lalu, angka jangkitan Covid-19 harian di Malaysia menurun kepada dua digit, dengan lebih 60 peratus telah pulih.
Bagaimanapun, kerajaan melanjutkan PKP buat kali ketiga, iaitu sehingga 12 Mei ini.
Pakar sebelum ini memberi amaran bahawa penamatan sekatan terlalu awal dapat mengakibatkan peningkatan semula jumlah jangkitan.