Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pasar Borong KL mula operasi dengan kawalan ketat
Diterbitkan:  Apr 24, 2020 1:07 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang kembali beroperasi bermula hari ini selepas selesai menjalani proses sanitasi dan kerja pembersihan selama empat hari di kawasan berkenaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihak berkuasa akan memantau operasi pasar borong tersebut supaya peniaga mematuhi peraturan dan prosedur yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja di kawasan itu.

Selain itu, katanya, penjual, pekerja dan pemandu lori dikehendaki menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang sesuai seperti penutup mulut dan hidung dan sarung tangan serta lori membawa bekalan dibenarkan masuk mengikut jadual yang ditetapkan.

“Mereka mesti kena ikut peraturan, jika didapati, kami akan tutup semula operasi Pasar Borong,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan 100,000 penutup hidung dan mulut daripada kerajaan China yang diserahkan oleh Duta Besar China di Malaysia, Bai Tian, di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1, di Kuala Lumpur.

Sumbangan tersebut adalah untuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKNWPKL) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan dan golongan memerlukan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Annuar berkata pekerja Pasar Borong yang tinggal di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar pusat bandar utara di Selayang tidak boleh kembali bekerja dan perlu tinggal dalam kediaman masing-masing.

“Semua penduduk di kawasan itu dikehendaki menjalani saringan Covid-19 dan perlu dikuarantinkan selama 14 hari, baru boleh keluar selepas PKPD,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS