Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC: K'jaan perlu kekang majikan hentikan pekerja
Diterbitkan:  Apr 24, 2020 12:31 PM
Dikemaskini: 4:46 AM

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon menggesa kerajaan untuk mengekang majikan "tidak bertanggungjawab" yang mengancam untuk melaksanakan pemberhentian pekerja secara massa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Solomon turut menggesa kerajaan memastikan keselamatan pekerja dan awam menjadi keutamaan, di tengah-tengah kebimbangan lanjutan PKP, yang mula berkuatkuasa pada 18 Mac lalu, akan terus menjejaskan ekonomi negara.

"Kami setuju dengan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam untuk melanjutkan PKP sehingga 12 Mei, tetapi kami juga bimbangan dengan laporan terbaru Bank Dunia yang mengatakan setelah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion bulan lalu, Malaysia kini memuliki ruang dasar fiskal yang terhad untuk terus mengambil langkah, jika keadaan ini berterusan," katanya, sambil membangkitkan kebimbangan dengan kesan kejatuhan harga minya.

Beliau berkata, laporan Bank Dunia tidak boleh menyebabkan kerajaan bertindak tergesa-gesa untuk memulakan semula ekonomi dengan membenarkan lebih banyak perniagaan dan perkhidmatan beropearsi semula, tanpa langkah-langkah yang wajar.

"MTUC faham tarikan untuk memulakan semula operasi lebih banyak perniagaan tidak penting, tetapi ia tidak boleh dijadikan keutamaan melebihi keselamatan pekerja dan orang ramai, dalam apa jua keadaan.

"Walau pandemik ini di Malaysia berada di bawah kawalan, atas usaha para petugas barisan depan, ancaman gelombang seterusnya Covid-19 masih ada," katanya lagi.

Menurut Solomon, cabaran terbesar kerajaan adalah menghalang pemberhentian pekerja secara beramai-ramai bagi bulan-bulan mendatang.

"Kerajaan perlu segera memastikan majikan memberi komitmen untuk tidak menghentikan ramai pekerja bagi satu tempoh masa," katanya.

Awal bulan lalu, MTUC mendakwa menerima 300 aduan pekerja yang "dipujuk" untuk mengambil cuti tanpa gaji atau menerima potongan gaji, manakala pekerja yang tamat kontrak tidak disambung perkhidmatan.

MTUC berkata ia bertentangan dengan peringatan kerajaan agar majikan tidak berbuat demikian, dan percaya jumlah sebenar pekerja yang berhadapan keadaan itu lebih ramai dan akan terus meningkat.

Justeru kesatuan itu menggesa kerajaan memperkenalkan Peraturan Kerja Kecemasan bagi melindungi pekerja yang tidak dilindungi dalam Pakej Prihatin perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam kenyataan hari ini, Solomon mengambil maklum berkenaan kenyataan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) bahawa 63 peratus anggotanya mungkin terpaksa memberhentikan pekerja, dengan 47 peratus daripadanya perlu mengambil tindakan itu dalam masa tiga hingga enam bulan akan datang.

"Kenyataan seumpama itu bukan saja tidak bertanggungjawab, tetapi akan menjejaskan negara jika pekerja hilang punca pendapatan di saat kerajaan sudah tiada wang lagi untuk membantu mereka," katanya, menyuarakan semula cadangan agar Peraturan Kerja Kecemasan diperkenalkan.

"Dalam mencadangkan perkara ini, kami tidak mengabaikan kepentingan majikan. Pendirian kami adalah bilion ringgit dalam pakej rangsangan ekonomi untuk membantu majikan sepatutnya membolehkan mereka mengekalkan pekerja walaupun PKP dilanjutkan," katanya lagi.

Antara peruntukan dalam pakej tersebut yang melibatkan pekerja ialah program subsidi upah untuk pekerja yang berpendapatan kurang RM4,000 dan terhad kepada 200 pekerja.

Semua syarikat dengan pekerja tempatan yang memperoleh gaji bulanan RM4,000 akan layak mendapat subsidi gaji antara RM600 hingga RM1,200 bergantung pada saiz syarikat.

Bagi syarikat dengan lebih daripada 200 pekerja, kerajaan akan menawarkan RM600 sebulan untuk setiap pekerja tempatan yang dikekalkan sehingga 200 pekerja.

Bagi syarikat yang mempunyai 76 hingga 200 pekerja, kerajaan akan menawarkan subsidi gaji RM800 sebulan untuk setiap pekerja tempatan yang dikekalkan dan bagi syarikat yang mempunyai 75 pekerja atau kurang, mereka akan mendapat RM1,200 untuk setiap pekerja tempatan yang dikekalkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS