mk-logo
Berita
K'jaan tubuh dana bantu bekal makanan untuk warga asing di Selayang
Diterbitkan:  Apr 23, 2020 10:09 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa memberi jaminan warga asing yang dikenakan perintah kawalan diperketatkan (PKPD) di sekitar Selayang akan disediakan bekalan makanan asas.

Bagaimanapun, pembelian bantuan makanan itu menggunakan wang yang dikutip melalui dana yang ditubuhkan khas oleh Pusat Pengurusan Krisis (CMC) dan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Jelasnya, dana itu tidak menggunakan wang pembayar cukai.

"Anggaran angka itu barangkali ada sekitar 8,000 ke 10,000 bukan warga negara.

"Untuk bukan warga negara kita punya Pusat Pengurusan Krisis (CMC) Wilayah Persekutuan telah membentuk satu dana, kita terima bantuan dalam bentuk sumbangan, yang satu akaun dibuka di DBKL.

"Kita menggunakan sumbangan itu untuk membeli stok makanan khusus untuk bukan warga negara

"Tak guna wang pembayar cukai.

"Buat masa ini dana itu ada dan cukup unuk kita memberikan bekalan makanan yang asas kepada yang bukan warga negara," kata beliau.

Kawasan perumahan di sekitar pasar borong di Kuala Lumpur telah diletakkan di bawah PKPD - berhampiran bulatan kuil Batu Caves sehingga ke pangsapuri Sri Murni - sejak Isnin lalu kerana jumlah kes Covid-19 dikesan di sana.

Sejak itu, ada laporan bahawa mereka yang tinggal di dalam penjara belum menerima bantuan makanan yang dijanjikan oleh pihak berkuasa, termasuk sejumlah besar pekerja asing dan pelarian Rohingya yang mencari nafkah di pasar borong Selayang.

Bagaimanapun, Annuar hari ini menafikan laporan berkenaan.

"Itu tidak benar," katanya menjelaskan bantuan kepada warga asing dibuat atas dasar kemanusiaan.

Pengagihan makanan kepada warga asing akan dikendalikan pasukan tentera, kata menteri memaklumkan catuan akan diberikan berdasarkan jumlah unit kediaman.

Penduduk yang diletakan di bawah PKPD tidak dibenarkan keluar rumah walaupun untuk membeli makanan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS