Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laut China Selatan: Surat terbuka bekas menteri luar kepada PM

ULASAN | Saya mendoakan semoga Tan Sri Muhyiddin Yassin berada di dalam keadaan sihat walafiat dan sejahtera serta dirahmati Allah.

Saya ingin menarik perhatian Tan Sri kepada laporan media tempatan, serantau dan antarabangsa sejak hujung minggu lepas berhubung keadaan di Laut China Selatan, khususnya berkaitan kehadiran kapal–kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia.

Seperti yang Tan Sri sedia maklum, isu Laut China Selatan merupakan isu berkeutamaan tinggi kepada Malaysia sejak dahulu lagi. Seperti yang Tan Sri sedia maklum juga, isu ini menjadi antara isu utama yang dibincangkan di dalam mesyuarat Kabinet bagi tempoh 2009–2016 sewaktu Tan Sri menjadi timbalan perdana menteri dan saya sebagai menteri luar.

Sejak sekian lama, Malaysia mengambil pendirian yang konsisten dan berprinsip berhubung Laut China Selatan meliputi isu kedaulatan, ekonomi, politik, keselamatan dan lain-lain. Pendekatan yang konsisten dan berprinsip ini tidak disenangi oleh China tetapi mereka menghormatinya.

Malaysia tidak akan dapat mempertahankan kepentingan strategik tanpa pendirian yang konsisten dan berprinsip ini.

Antara elemen utama pendirian ini ialah Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China ke atas kawasan maritim Malaysia kerana tuntutan berdasarkan nine dash line itu tidak selaras dengan peruntukan undang–undang antarabangsa termasuklah peruntukan Konvensyen PBB Mengenai Undang–Undang Laut 1982 (1982 United Nations Convention on the Law of the Sea – 1982 UNCLOS).


Baca: Perihal pertikaian Laut China Selatan


Kehadiran kapal China di dalam kawasan perairan Malaysia bukan untuk tujuan pelayaran berlaku buat kali pertama pada 2012, apabila kapal pengawal pantai China mengganggu aktiviti kajian seismik yang sedang dilaksanakan oleh kontraktor Petronas.

Walau bagaimanapun, kapal tersebut tidak mengambil tindakan yang keras seperti melanggar dan menghimpit seperti yang berlaku antara China dengan Vietnam dan Filipina.

Salah satu teori yang dibangkitkan berhubung tindak tanduk China yang berbeza ini adalah kerana China mengenang peranan Malaysia sebagai negara Asia Tenggara yang pertama menjalinkan hubungan diplomatik dengannya. Bagaimanapun, teori ini tidak dapat disahkan.

Malaysia telah memprotes tindakan China itu dan saya selaku menteri luar pada masa itu telah memberikan kenyataan kepada pihak media dan membangkitkan ketidaksenangan Malaysia berhubung tindak-tanduk China dengan rakan sejawatan saya dari negara tersebut.

Saya berpandangan pendirian yang konsisten dan berprinsip merupakan cara terbaik untuk menangani tindak-tanduk China. Pada masa sama, pertimbangan Malaysia berhubung isu Laut China Selatan mestilah berdasarkan kepentingan nasional, dan pertimbangan lain seperti keperluan menjaga air muka China menjadi pertimbangan sekunder.

Sehubungan itu, saya berpandangan adalah wajar untuk kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung aktiviti tinjauan yang dijalankan oleh kapal China di dalam kawasan maritim Malaysia. Kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan TLDM yang bersaiz kecil mungkin tidak mampu menghalang kapal China tetapi sekurang–kurangnya kita menzahirkan tekad kita untuk tidak membiarkan mereka berbuat sesuka hati di dalam kawasan maritim Malaysia.

Pada masa sama, kita boleh meneliti dan memahami setakat mana China akan bertindak balas terhadap Malaysia. Pemantauan rapat dan membayangi (close surveillance and shadowing) juga mesti dilaksanakan.

Seterusnya pihak kerajaan melalui menteri luar wajar menzahirkan ketidaksenangan terhadap kehadiran kapal China itu. Kenyataan ini boleh disusuli dengan nota bantahan diplomatik kepada China. Tindakan–tindakan ini akan memastikan kepentingan strategik negara tidak terjejas.

Pada masa sama, saya berpandangan wujud keperluan untuk kerajaan menubuhkan satu entiti khas bagi mengendalikan isu maritim Malaysia, meliputi isu pembatasan sempadan maritim dengan negara–negara jiran, isu Laut China Selatan, ekonomi maritim dan hal-hal berkaitan lain.

Perkara ini telah saya bangkitkan dahulu tetapi penubuhannya tidak sempat direalisasikan ekoran perubahan kerajaan pada 2018. Saya berpandangan penubuhan entiti khas ini akan membolehkan isu maritim dikendalikan secara komprehensif, bersepadu dan terselaras.

Entiti khas ini akan melapor terus kepada perdana menteri dan dengan itu meminimumkan pertimbangan politik di peringkat menteri dan kementerian. 

Baca kenyataan Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkenaan isu tersebut di sini.


ANIFAH AMAN adalah bekas menteri luar Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS