Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bagi penghuni rumah kos rendah seperti flat dan Program Perumahan Rakyat (PPR), yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40, kehidupan menjadi semakin sukar selepas penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Perbelanjaan harian semakin meningkat, dan pada masa sama ramai yang tidak dapat keluar mencari pendapatan.

Pengerusi Gabungan Desa Mentari Akazillah Din, keperluan untuk semua ahli keluarga berada di rumah secara tidak langsung meningkatkan perbelanjaan makanan harian.

Katanya lagi, ramai penduduk PPR Desa Mentari di Petaling Jaya yang bekerja sendiri, antaranya berniaga kecil-kecilan dengan menjual nasi lemak atau pisang goreng, atau menjadi pemandu teksi.

“Mereka terjejas dengan PKP. Terutamanya bagi penduduk yang bekerja sendiri, mereka tak boleh berniaga langsung. Mereka amat terjejas dan memerlukan,” katanya ketika bual bicara atas talian bertajuk “Suara penghuni flat dan PPR", yang disiarkan di laman Facebook Freedom Film Fest hari ini.

Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia yang melibatkan 168,182 responden berusia 15 tahun ke atas.

Akazillah berkata demikian ketika diminta mengulas kehidupan penduduk di situ sepanjang tempoh PKP yang sudah masuk hari ke-37.

Turut sama dalam bual bicara itu ialah Anggota Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, dengan Pengarah Freedom Film Network Anna Har sebagai moderator.

Akazillah berkata ramai penduduk di PPR tidak mempunyai wang simpanan yang banyak walaupun untuk membeli barangan keperluan makanan.

Awal bulan lalu, tinjauan yang dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati majoriti responden tidak bersedia dari segi kewangan jika PKP dilanjutkan.

Tinjauan itu antara lain mendapati sebanyak 81.9 peratus responden yang bekerja sendiri tidak bersedia jika PKP dilanjutkan, dan 71.4 peratus responden yang bekerja sendiri berkata mempunyai simpanan untuk sebulan sahaja.

Selain itu, 46.6 peratus responden daripada kategori itu berkata telah hilang pekerjaan.


'Hampir separuh bekerja sendiri hilang kerja, majoriti tak sedia PKP dilanjut'


Akazillah turut membangkitkan satu lagi masalah yang dihadapi penghuni PPR, iaitu ruang yang sempit yang perlu dikongsi semua anggota keluarga.

Beliau berkata saiz rumah yang sempit mencetuskan rasa tidak selesa, terutama jika ia perlu dikongsi dengan empat hingga 10 anggota keluarga yang lain.

“Jadi dalam kawasan macam ni, yang sempit, tak selesa, dalam jangka masa PKP yang begitu panjang ini memang memerlukan (keperluan makanan) yang banyak.

“Bila semua berada di dalam rumah, kita perlukan makanan dan perbelanjaan makin meningkat,” katanya lagi.

Akazillah bimbang jika tempoh PKP dilanjutkan untuk satu tempoh yang lebih lama kerana bantuan kerajaan sebelum ini tidak akan dapat menampung perbelanjaan harian untuk jangka masa panjang.

Antara bantuan yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini adalah agihan wang tunai menerusi Bantuan Prihatin Nasional.

Ia antaranya menyebut RM1,600 akan disalurkan kepada hampir 4 juta isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 ke bawah, RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah; dan RM500 kepada individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan moratorium bagi pembayaran pinjaman perumahan dan kenderaan selama enam bulan, bermula April.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS