Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohd Amar saran kelonggaran tertentu jika PKP dilanjut

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah melontarkan pandangan agar kelonggaran dapat diberikan dalam sektor tertentu jika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan bagi memastikan ekonomi bergerak.

Memberikan pandangan peribadinya susulan kes Covid-19 yang semakin menurun di Kelantan, katanya, kelonggaran secara berperingkat mungkin boleh dibuat namun ia tetap bergantung kepada keputusan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sama ada PKP ini disambung atau tidak kita tunggu pengumuman perdana menteri nanti. Sebab ini bukan bidang kuasa kita (negeri) tetapi MKN, kita cuma jadi pelaksana keputusan MKN, itu yang kena faham.

"Walaupun di Kelantan sudah semakin baik, alhamdulillah dengan berkat usaha semua pihak, tetapi kita tak boleh buat keputusan apa-apa. Kita tunggu keputusan nanti," katanya kepada media selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kelonggaran sektor tertentu akan diberikan jika tempoh PKP dilanjutkan atau sebaliknya.

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS berkata, PKP mungkin boleh sambung dengan kelonggaran tertentu secara berperingkat perlahan-lahan terutamanya pada waktu siang.

"Mungkin boleh kita longgarkan sedikit bagi peluang untuk orang bekerja dan sebagainya untuk memastikan ekonomi bergerak, ini pandangan peribadi saya.

"Selain sektor perkhidmatan barangan keperluan mungkin sektor lain boleh diberi kelonggaran, contohnya perkhidmatan pentadbiran pejabat tanah.

"Macam kita di Kelantan ini kita tutup semua pejabat dalam masa sebulan ini, kita tak ada hasil, tak masuk hasil kepada kerajaan negeri. Sebab orang nak bayar premium tanah tak boleh, cukai tanah pun tak boleh, urusan tukar milik pun tak boleh buat.

"Tetapi, ini bukan Kelantan saja, tapi seluruh negara. Dari segi pendapatan kerajaan negeri sudah terjejas. Jadi kita kena ambil kira juga perkara itu," katanya.

Sementara itu diminta mengulas mengenai lantik politik dalam syarikat berkait kerajaan (GLC), Mohd Amar berkata perkara itu tidak menyalahi undang-undang dan PAS tidak ada masalah dengan pelantikan tersebut.

Bagaimanapun tegasnya, pelantikan itu adalah hak perdana menteri yang mesti dihormati.

"Pengerusi GLC ini berbeza dengan ahli lembaga pengarah, bagi saya kalau orang politik jadi pengerusi tidak ada masalah, sebab pengerusi mesyuarat saja. Sebarang keputusan dibuat selepas perbincangan dengan ahli-ahli lembaga mesyuarat. Kalau kita ada ahli lembaga yang baik, profesional dan orang berpengalaman Insya-Allah keputusan akan jadi bagus.

"Jadi dalam isu lantikan pengerusi GLC ini, pertamanya keputusan itu adalah hak perdana menteri. Keduanya, bagi peluang dulu kepada seseorang buktikan kemampuannya, sekurang-kurangnya tiga bulan ke atau enam bulan ke," katanya.

Ditanya pandangannya itu dilihat kontradik dengan pendirian PAS ketika PH menerajui kerajaan, jelasnya, PAS tidak pernah berjanji seperti mana PH dalam isu tersebut.

"Kita kritik masa itu sebab PH berjanji, mereka kata bila naik (jadi kerajaan) tidak akan lantik ahli politik jadi pengerusi GLC. Tiba-tiba dilantik, sebab dia sudah melanggar janji.

"Macam kita, tak pernah janji. Kita tak pernah kata apa-ap. Jadi kita tak ada masalah apa-apa dan tidak salah di sisi undang-undang," ujarnya.

Habis


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS