mk-logo
Berita
Cuepacs kesal ada cadangan potong gaji penjawat awam
Diterbitkan:  Apr 23, 2020 2:59 PM
Dikemaskini: 7:40 AM

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah sepenuhnya dan melahirkan rasa kesal dengan cadangan pemotongan gaji penjawat awam yang dikemukakan ahli perniagaan Ameer Ali Mydin.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata, cadangan itu tidak kena pada masanya di saat kerajaan, yang menurutnya ditunjangi penjawat awam, sedang berusaha sehabis daya melawan wabak Covid-19.

“Cuepacs melahirkan rasa kesal dan membantah cadangan tersebut secara total.

“Cadangan atau kenyataan yang dibuat secara umum itu bukan sahaja menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap penjawat awam, malah boleh melunturkan semangat penjawat awam yang ketika ini sedang bertungkus-lumus mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata lagi, Ameer sebagai seorang usahawan yang berpengaruh seharusnya bersama-sama penjawat awam membantu negara berdepan krisis tersebut.

“Penjawat awam masih menjalankan tugas seperti biasa. Mereka yang berada di barisan hadapan tetap menjalankan tugas tidak kira hujan panas dan terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

"Mereka di belakang tabir seperti pembantu tadbir tetap dengan tugas membantu seperti biasa di jabatan untuk membantu petugas barisan depan dan ada juga yang melaksanakan tugasan di rumah. Para guru terus menjalankan tugasnya mengadakan sesi pembelajaran secara online," katanya lagi.

Dalam wawancara dengan Free Malaysia Today semalam, Ameer dilaporkan membandingkan langkah yang diambil sektor swasta dan awam susulan kemerosotan ekonomi yang disebabkan pandemik Covid-19.

Ameer Ali Mydin

Pengarah Urusan rangkaian pasar raya Mydin itu berkata, banyak syarikat swasta tidak mempunyai pilihan selain memotong gaji dan mengurangkan pekerja.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan mengurangkan gaji kakitangan awam, yang berjumlah 1.6 juta orang, dan menggunakan wang yang dijimatkan untuk membantu mereka yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ameer kemudian menyiarkan satu kenyataan di Facebook yang menjelaskan bahawa cadangan tersebut merupakan pandangan peribadi dan dibuat berdasarkan pengalaman Mydin yang telah membuat pemotongan gaji, termasuk gajinya sendiri yang dipotong sepenuhnya.

"Saya amat memahami kepayahan golongan B40 & M40. Jika kerajaan boleh berjimat bermakna lebih banyak bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional dapat disalurkan kepada golongan sasaran. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

"Mydin tidak pernah berhenti menyokong peranan dan kesungguhan semua penjawat awam dalam memastikan urusan pentadbiran negara lancar terutamanya petugas barisan depan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS