Tempat duduk untuk anggota parlimen di Dewan Rakyat akan disusun semula untuk memastikan penjarakan sosial semasa dewan bersidang pada 18 Mei.
"Ini bermakna beberapa anggota parlimen perlu duduk dalam ruang yang asalnya diperuntukkan untuk pembantu menteri dan pelawat," kata Timbalan Speaker, Mohd Rashid Hasson kepada China Press.
Oleh sebab tiada perbahasan dalam persidangan satu hari itu, Mohd Rashid berkata hanya sebilangan kecil pegawai kerajaan akan dibenarkan menghadiri sidang.
"Kami telah mengeluarkan surat kepada semua 222 anggota Parlimen. Sidang akan dipermudahkan," katanya menambah pembesar suara akan dipasang di galeri pelawat.
Timbalan speaker turut mengingatkan semua anggota parlimen agar menjalani pemeriksaan kesihatan 14 hari sebelum bersidang.
Langkah pencegahan lain yang akan dilaksanakan termasuk mengurangkan bilangan pintu masuk dan keluar serta menjalankan pemeriksaan suhu badan.
Mohd Rashid berkata, pengerusi baru Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan dilantik selepas penyandangnya Dr Noraini Ahmad dilantik sebagai menteri kabinet sebelum ini.
Dewan Rakyat akan bersidang buat kali pertama sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sesi itu dijadualkan pada 9 Mac, di mana PH dijangka membentangkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tetapi ditangguhkan selama dua bulan akibat wabak Covid-19.
Pada 14 April, Presiden PKR, Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa isu undi tidak percaya tidak timbul sekiranya sidang khas diadakan untuk membahaskan langkah berterusan bagi membendung Covid-19.
Beliau berkata adalah lebih penting untuk memberi tumpuan kepada kesan ekonomi dan sosial akibat wabak berkenaan dan bukannya membahaskan hal-hal politik.
Bagaimanapun, anggota parlimen pembangkang lain mengkritik keputusan untuk mengadakan sesi persidangan selama sehari tanpa berbahas.
Berdasarkan surat yang diterimanya, Anggota Parlimen Iskandar Puteri yang juga pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, tidak akan ada "sesi soalan jawab lisan, soalan bertulis, usul dan sidang khas."
Beliau berkata perkara itu akan mengurangkan peranan parlimen untuk melakukan semak dan imbang kepada kerajaan dalam menangani wabak itu.
Sementara itu, sesi parlimen tersebut juga akan menyaksikan Dr Mahathir Mohamad, yang juga pengerusi Bersatu duduk di barisan pembangkang.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.