Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Kluster baru di Pengerang - KKM
Diterbitkan:  Apr 22, 2020 6:17 PM
Dikemaskini: 12:33 PM

Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan muncul kluster pesakit baru Covid-19 di Pengerang, Johor.

Sehingga tengah hari ini, kumpulan itu melibatkan 15 individu di mana 10 orang merupakan rakan sekerja dan lima lagi melibatkan ahli keluarga pesakit indeks.

Tujuh pesakit masih dirawat di hospital.

Kes indeks itu dirujuk sebagai Pesakit No 1,508 yang mula menunjukkan gejala pada 12 Mac dan dirawat kerana denggi di sebuah hospital swasta pada 16 Mac.

Pesakit itu kemudian pergi ke Selangor pada 17 Mac untuk bertemu ahli keluarganya.

"Beliau (Pesakit No 1,508) telah dirawat di sebuah klinik swasta pada 16 Mac dan disyaki sebagai menghidap demam denggi.

"Pada keesokan hari, beliau telah merentas beberapa buah negeri untuk mengunjungi sanak saudara di sekitar Selangor sebelum pulang ke Pengerang pada 18 Mac," maklum Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

"Sebanyak tujuh kes daripada kluster ini masih dalam rawatan manakala lapan kes lagi telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj.

"Manakala tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Kementerian Kesihatan berkata sejumlah anggota keluarganya (tidak dinyatakan angka) telah dijangkiti Covid-19 semasa lawatan ini.

Pesakit No 1,508 kemudian kembali ke Pengerang pada 18 Mac dan kemudian di masukkan ke wad hospital Sultanah Aminah pada 20 Mac.

Pesakit diuji positif untuk Covid-19 pada 22 Mac.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan perjalanan dan jangkitan seterusnya terhadap anggota keluarga Pesakit No 1,508 di Selangor berlaku sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dikenakan.

Lebih 30 kluster berkaitan Covid-19 telah dikesan di negara ini, maklum KKM.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS