Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Hampir dua pertiga sembuh, bilangan dirawat kurang 2,000'
Diterbitkan:  Apr 22, 2020 6:06 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Bilangan pesakit Covid-19 yang discaj hari ini lebih dua kali ganda berbanding bilangan kes yang dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 103 kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini, manakala jumlah kes baru dilaporkan adalah 50.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan discaj dari wad adalah sebanyak 3,452 kes iaitu 62.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga 22 April pukul 12 tengah hari, terdapat 50 kes baharu dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 5,532 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata sehingga kini, 43 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 25 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Mengulas mengenai jumlah kes kematian, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 93 kes iaitu 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Kes kematian ke-93 (kes ke-5483) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit barah dan darah tinggi.

Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 20 April dan disahkan meninggal dunia 9.15 pagi ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS