Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan tambah 242 tangki air statik sepanjang Ramadan

Kerajaan Kelantan menambah sebanyak 242 tangki air statik sepanjang Ramadan ini bagi mengatasi gangguan bekalan air di negeri itu.

Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata kerajaan negeri sebelum ini menyediakan lebih 100 tangki statik yang menjadikan keseluruhan hampir 400 tangki setakat ini.

Menurut beliau, dua faktor yang menyebabkan berlaku gangguan bekalan air di Kelantan iaitu faktor kemarau dan air tak berhasil (NRW).

"Masalah NRW disebabkan kebocoran di paip utama yang menjadikan bekalan air tidak sampai kepada pengguna.

"Punca kebocoran disebabkan paip utama kita sudah lama dan perlu digantikan. Contoh jika sejuta liter air yang keluar, mungkin hanya 500,000 liter air sahaja yang sampai kepada pengguna.

"Disebabkan masalah yang berlaku, kita menambah jumlah tangki statik yang dihantar menggunakan lori di kawasan yang terjejas sepanjang Ramadan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco di kediaman rasminya di Kota Bharu, hari ini.

Tambah Ahmad, tangki air statik itu akan dihantar menggunakan lori di kawasan terjejas setiap hari dan pihaknya akan memastikan penduduk kampung menjaga jarak sosial bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

"Memandangkan masalah paip bocor sudah lama, kerajaan negeri sedang berurusan dengan pihak kementerian berkaitan bagi menggantikan paip baru," katanya.

Sementara itu, kerajaan Kelantan juga bersetuju menangguhkan bayaran sewa bagi rumah kos rendah (RKR) selama 6 bulan bermula April 2020.

Ahmad berkata, penangguhan sama juga melibatkan sewa dan sewa beli selama enam bulan membabitkan kos RM658, 231.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS