mk-logo
Berita
Peguam syarie: Tak pernah dengar lagi data 9 dari 10 orang Islam murtad
Diterbitkan:  Apr 22, 2020 3:46 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Peguam syarie Fadhlina Siddiq berkata sebagai seorang peguam sebuah majlis agama Islam negeri, beliau tidak pernah lagi mendengar "data sembilan daripada sepuluh orang Islam murtad."

"Jika dakwaan ada sokongan data, sangat bagus. Jika hanya spekulasi dan mendatangkan rasa takut dan mengganggu ketenteraman awam, maka pihak berkuasa perlu menyiasat," gesanya pada suatu hantaran di media sosial hari ini.

Beliau yang juga timbalan presiden NGO perlindungan kanak-kanak Family Empowerment (Fame), berkata urusan akidah merupakan tanggung jawab bersama institusi, badan dakwah dan umat Islam.

"Malah seluruh institusi di bawah Majlis Agama Islam akan bertungkus lumus menyelamatkan aqidah seorang muslim dengan pelbagai inisiatif.

"Ia termasuk usaha di peringkat Jabatan Mufti, NGO, bahagian mualaf dan Pusat Zakat serta Mahkamah Syariah," jelasnya.

Fadhlina yang juga bekas naib presiden (Helwa) Abim dipercayai mengulas dakwaan isu murtad yang tular di media sosial sebelum ini.

Terdahulu, anak perempuan presiden Umno, Nurulhidayah Ahmad Zahid semalam mendakwa - dan sempat tular selepas ditangkap layar - bahawa masalah murtad di negara ini begitu serius, lalu menarik perhatian warganet kerana dianggap tidak masuk akal.

Sesetengah mereka juga meminta Nurulhidayah menunjukkan bukti bagi menyokong dakwaannya itu.

Orang salah faham

“Fakta: Tahukah anda, 9 antara 10 orang Islam telah murtad?” begitu bunyi di permulaan hantaran Nurulhidayah di Instagram yang turut ada menyentuh tentang LGBT.

Bagaimanapun hantaran tersebut tidak lagi dapat ditemukan.

Menjelaskan isu itu, Nurulhidayah memohon maaf atas hantarannya yang diakuinya mengelirukan orang ramai.

“Orang dah salah faham, sebab saya yang buat orang keliru sebenarnya,” kata Nurulhidayah lagi.

Menjelaskan lanjut, kata Nurulhidayah, meskipun perangkaan "sembilan antara 10" itu bukanlah merujuk rakyat beragama Islam di Malaysia secara keseluruhannya.

Nurulhidayah juga berkata perangkaan itu bukanlah direka-reka malah dia mempunyai penjelasan mengenai perangkaan tersebut.

Nurulhidayah dikatakan memuat naik hantaran mengenai murtad itu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad, bersama suaminya.

Selain itu, dia turut memuat naik gambar pertemuan dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad, yang sebelum ini pernah menjadi setiausaha politik ayahnya, Ahmad Zahid Hamidi.

Hantaran itu menerima reaksi negatif kerana dikatakan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuaskan ekoran wabak Covid-19, dari 18 Mac hingga ke 28 April ini.

Nurulhidayah pada hari ini menafikan dia memadam hantaran berkaitan 'data' mengenai kadar murtad dalam kalangan orang Islam Malaysia seperti yang sebelum ini dimuat naik di Instagram.

Mendakwa ia berlaku secara automatik, Nurulhidayah berkata, memang penyedia media sosial seperti Instagram itu akan memadamkan hantaran jika menyentuh mengenai isu seperti murtad dan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS