Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM tahan individu dipercayai rasuah barisan hadapan ketika PKP
Diterbitkan:  Apr 22, 2020 3:02 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu dalam dua kes berbeza berhubung perbuatan merasuah penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini.

Agensi itu dalam kenyataan media hari ini berkata, ia susulan penerimaan sebanyak 286 maklumat dan 22 aduan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan sejak 18 Mac lalu sehingga semalam.

"Sepanjang tempoh PKP yang dikuatkuasa bermula 18 Mac 2020 hingga 21 April 2020, SPRM menerima sebanyak 286 maklumat dan 22 aduan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan.

"Daripada jumlah tersebut, SPRM telah pihaknya menahan tiga individu dalam dua kes berbeza berhubung perbuatan merasuah penguat kuasa yang bertugas di barisan hadapan.

"Dalam kes pertama, dua warga Pakistan telah ditahan di Kota Kinabalu, Sabah kerana cuba menyogok pihak berkuasa sebanyak RM7,000 bagi mengelak dikenakan tindakan kerana suspek dipercayai menyeludup rokok ketika melalui sekatan jalan raya.

"Kes kedua pula, seorang peniaga ditahan kerana dipercayai telah merasuah pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak RM500 di Kluang, Johor sebagai dorongan mengelak dikenakan tindakan atas kesalahan membuka premis perniagaan tanpa kebenaran," kata kenyataan tersebut.

Menurut SPRM lagi, kedua-dua kes terbaru ini menunjukkan aktiviti haram seperti penyeludupan terus berlaku selain terdapat premis perniagaan yang dibuka tanpa kebenaran walaupun dalam tempoh PKP berkuat kuasa.

"Perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti ini secara tidak langsung turut mendorong kepada perbuatan rasuah.

"Dalam hal ini, SPRM merakamkan syabas dan tahniah kepada pihak berkuasa di barisan hadapan kerana ketegasan yang ditunjukkan terhadap penjenayah dan perasuah.

"Ingin ditegaskan bahawa SPRM akan terus menjalankan siasatan walaupun dalam keadaan terbatas dengan berpandukan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan," katanya.

Tegas SPRM lagi, demi kepentingan pihak terlibat, pejabat-pejabat SPRM di seluruh negara tetap dibuka dan terdapat pegawai ditugaskan secara bergilir-gilir dengan bilangan minimum bagi mengambil tindakan terhadap maklumat yang diterima.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS