Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perlis lanjutkan penangguhan aktiviti masjid hingga 13 Mei
Diterbitkan:  Apr 22, 2020 2:34 PM
Dikemaskini: 6:34 AM

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengumumkan pelanjutan penangguhan solat Jumaat, terawih dan sebarang aktiviti pengimarahan masjid dan surau seluruh Negeri Perlis sehingga 31 Mei.

Pengumuman itu dikeluarkan MAIPs bagi menjunjung titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang dizahirkan baginda melalui surat perutusan kepada Mufti Perlis Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 17 April lepas.

MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa tindakan pelanjutan ini dibuat setelah baginda Raja Perlis melihat dan mengamati senario semasa wabak virus COVID-19 dan pelbagai usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak berwajib bagi memutuskan rantaian penularan wabak berkenaan.

“Menurut titah perutusan Tuanku Raja Perlis, sekiranya penularan wabak COVID-19 ini dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal, maka satu titah baharu akan dikeluarkan oleh baginda,” menurut MAIPs.

Sementara itu, Mohd Asri dalam kenyataan yang sama berkata titah baginda adalah tepat ketika Perlis menjadi negeri yang tidak mempunyai kes aktif dan menjadi tanggungjawab semua untuk melipat gandakan usaha bagi memastikan tujuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini mencapai maksud dan tujuannya.

"Tindakan pelanjutan ini adalah bertepatan dengan 'Maslahah Aamah' (kepentingan umum) supaya dapat mengelakkan gelombang seterusnya COVID-19 daripada melanda negeri ini. Panduan kepada masyarakat dalam melaksanakan ibadah, khususnya pada bulan Ramadan bakal dikeluarkan untuk dijadikan rujukan," katanya.

Perlis menjadi negeri pertama yang mengumumkan pembatalan solat Jumaat pada 13 Mac, 2020 melalui titah perutusan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs setelah diperkenankan oleh Raja Perlis, sebagai langkah untuk mengawal penularan pandemik wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Perlis juga negeri pertama di negara ini yang menutup masjid dan surau daripada sebarang aktiviti kecuali untuk seruan azan dan jemaah oleh tiga pegawai masjid yang bertugas sahaja.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS